Azalina: Pelantikan speaker di luar bidang kuasa mahkamah



Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa dalam pelantikan speaker dan timbalan speaker.

Ia susulan tindakan mahkamah oleh Anggota Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad dan empat anggota parlimen lain bagi mencabar pelantikan Azhar Azizan Harun, Azalina dan Nizam Mydin Bacha Mydin masing-masing sebagai speaker, timbalan speaker dan setiausaha Dewan Rakyat.

Memetik Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan, Azalina berkata kesahan apa-apa prosiding di parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dicabar di mahkamah.

Perkara 63 (1) menyatakan: "Kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah."

Loading...

Azalina juga menyebut keputusan mahkamah terhadap kes bekas speaker DUN Perak, V Sivakumar dan R Ganesan di mana mahkamah memutuskan bahawa Dewan mempunyai kuasa untuk memilih dan memecat speaker dan isu siapa yang dilantik secara sah adalah terletak di luar bidang kuasa mahkamah.

Malah, Azalina berkata, pendahulunya Nga Kor Ming juga telah meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat sebelum usul pelantikan beliau di bawah Peraturan Mesyuarat 6 Dewan Rakyat dibacakan.

"Justeru, saya tidak melihat terdapat mana-mana pelanggaran Peraturan Mesyuarat atau Perlembagaan berlaku.

"Walaubagaimanapun, memandangkan perkara ini pada masa ini berada dalam pertimbangan mahkamah, saya juga sebagai seorang pengamal undang-undang, menyerahkan kepada pihak mahkamah bagi mengadili perkara tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Loading...

Mohd Ariff Md Yusoff digugurkan sebagai speaker Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu dengan 111 undi menyokong dan 109 undi lagi menentang.

Usul itu dibentangkan oleh perdana menteri Muhyiddin Yassin bagi menggantikan tempat Mohd Ariff dengan speaker baru.

Usul berasingan juga dikemukakan untuk menggugurkan Nga sebagai timbalan speaker namun beliau meletakkan jawatan sejurus Mohd Ariff digugurkan.

Empat anggota parlimen lain yang mencabar pelantikan itu ialah Anggota Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir,  Maszlee Malik (Simpang Renggam),  Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading). – Mkini

ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram