Hina hukum Islam, pendakwah saran Syed Saddiq bertaubat



KUALA LUMPUR — Tindakan bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan mengenai pelaksanaan hukum hudud mendapat teguran daripada pendakwah Ahmad Dusuki Abd Rani.

Ahmad Dusuki berkata, kenyataan dikeluarkan Syed Saddiq bukan sahaja mempersendakan hukum Islam malah menunjukkan kedangkalan terhadap ajaran agama.

“…setiap apa yang kita ingin luahkan cuba pandang kiri dan kanan. Maknanya tanya dulu kesan hukum daripada kata jijik ini. Nampak sangat kebiadaban terhadap hukum Islam!” katanya di media sosial.



Semalam, Syed Saddiq dilaporkan mengeluarkan kenyataan mengenai pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Ahli Parlimen Muar itu mempersoalkan sejauh mana hukum hudud dapat dilaksanakan dengan adil tanpa bersikap berat sebelah terhadap golongan tertentu.

Menerusi ciapan di Twitter, Syed Saddiq turut membayangkan rakyat akan dipotong tangan jika melakukan kesalahan sementara menteri hanya dipotong kuku.



Terdahulu, Ahmad Dusuki berharap Syed Saddiq segera bertaubat memandangkan kenyataan dikeluarkan boleh dianggap sebagai dosa kerana mempersendakan hukum Islam.

“Bercakap atau menulis biar rasa dosa dan pahala. Jika kata budak baru akil baligh ini sengaja, ia merupakan dosa besar mempersenda hukum agama.

“Jika atas kejahilan, segera beristigfar dan bertaubatlah,” katanya lagi. – SuaraTV




Join our Telegram Channel
Telegram