
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menetapkan permohonan
i-Sinar dalam talian dibuka bermula hari ini.
Bagi tujuan itu, terdapat dua kategori kriteria kelayakan untuk memohon
i-Sinar.
Bagi kategori 1, semua pemohon layak termasuk ahli yang bekerja di sektor
formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, yang
sudah lama tidak mencarum, yang hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi
notis cuti tanpa gaji.
Kriteria bagi kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP
sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli
yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30
peratus dan ke atas selepas Mac 2020.
Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan, kelulusan secara
automatik berdasarkan data dalaman KWSP, ahli hanya perlu memohon secara dalam
talian melalui isinar.kwsp.gov.my dan pembayaran untuk ahli yang layak akan
bermula dari pertengahan Januari 2021.
Kategori 2 pula meliputi ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan
pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas, termasuk pengurangan
gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020,
yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenal pasti melalui dokumen yang
diberikan.
Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada
ahli iaitu penyata gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan dan notis
pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.
Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain
seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan
dan ahli boleh memohon secara dalam talian melalui
isinar.kwsp.gov.my
mulai 11 Januari 2021.
Tambah KWSP, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua
hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat dan pembayaran akan dilaksanakan
sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi.
Dalam pada itu, KWSP berkata jumlah kelayakan untuk mengeluarkan wang dari
i-Sinar tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran
terkini.
Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat
pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan
dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.
Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1 boleh membuat
pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah)
daripada Akaun 1 dengan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam
tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.
Sehubungan itu, ahli KWSP digalakkan untuk mendaftar i-Akaun, mengemas kini
nombor telefon bimbit untuk menerima transaction authorisation code (TAC) di
kiosk atau kaunter KWSP dan memastikan nombor akaun bank adalah aktif.
Join our Telegram Channel