KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin menuntut ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd
Puad Zarkashi memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi RM10 juta
kerana didakwa memfitnah perdana menteri menerusi hantaran di Facebook minggu
lalu.
Dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership
kepada Puad semalam, Muhyiddin, antara lain, menuntut Puad memadam kenyataan
bertarikh 9 Feb mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.
Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Puad bahawa Muhyiddin enggan
dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Feb lalu
sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap
menteri.
“Kami diarahkan bahawa kenyataan tersebut mengandungi maklumat tidak benar,
tidak berasas dan berniat jahat,” menurut surat tuntutan yang ditandatangani
oleh peguam Muhyiddin.
Firma guaman itu juga diarah untuk menuntut Puad menyatakan permohonan maaf
secara terbuka disiarkan secara jelas dan segera di Laman Facebooknya dan
semua portal berita dan media sosial yang menyiarkan kenyataan yang didakwa
berunsur fitnah itu.
Selain itu, Puad juga dituntut mengeluarkan aku janji bertulis untuk tidak
mengulangi atau menerbitkan kenyataan sama atau seumpama itu dalam apa jua
cara sekalipun.
“Kami diarahkan untuk menuntut agar bersetuju untuk membayar pampasan kepada
anak guam kami sejumlah RM10 juta dan jika gagal menunaikan tuntutan dalam
masa tujuh hari dari tarikh surat ini, maka kami akan mengambil tindakan
guaman terhadap anda,” katanya.
Difahamkan surat tuntutan tersebut dihantar melalui e-mel dan juga diserahkan
secara tangan kepada Puad.
Join our Telegram Channel