Seolah-olah tidak tahan dengan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional di
bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, warga maya menyuarakan rasa
tidak puas hati mereka menerusi ruangan komen di akaun Facebook Istana Negara.
Dalam satu hantaran yang memuatnaik gambar Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan
Agong semalam bagi sesi perbincangan dan pertukaran pendapat berkenaan urusan
dan isu-isu berkaitan kerajaan, rata-rata warga maya menggunakan platform
media sosial untuk mengadu kesukaran mereka sewaktu pandemik Covid-19 dan
tidak kurang juga yang “menyerang” pentadbiran Muhyiddin.
Tidak terkecuali juga, ada yang meninggalkan komen-komen nakal mengenai jumlah
majoriti yang menyokong pentadbiran Muhyiddin.
Salah seorang pengguna dengan nama Hazriq Zamali berkata; “Kami perlukan
seorang pemimpin yang baik, serta bijak laksana untuk membantu kami di kala
negara dilambung musibah.
“Bukan seorang pemimpin sekampit beras.. Daulat Tuanku moga Allah kurniakan
kesihatan dan kesejahteraan yang baik pada seluruh kaum kerabat Sultan
Pahang.”
Salman Khair pula berkata; “PM tiada majoriti pertama di Malaysia. Pelik bin
ajaib. Daulat tuanku. Mohon tuanku sentiasa memberikan yang terbaik buat kami
rakyat Malaysia,” katanya.
Mohd Farhan yang turut menyokong pendapat Salman itu membalas; “Betul tu.
Sampai bilalah kita nak duduk di bawah kerajaan tak ada majoriti ni. YDPA
sahaja harapan rakyat.”
Terdapat pengguna lain yang menyuarakan kebimbangan mereka berhubung isu
kestabilan ekonomi negara dan tindakan pelabur yang berpindah ke negara-negara
jiran.
Antaranya warga maya dengan nama Wan Jitraa yang mengadu; “Mohon tuanku faham
kehendak rakyat. Rakyat dah cukup terseksa dan menderita di bawah kerajaan PN.
“Pelabur dah ramai lari, rakyat dah ramai yang tak ada kerja, hilang punca
pendapatan, ekonomi negara makin teruk tuanku, kes rasuah makin meningkat.
Harap tuanku dengarlah suara majoriti rakyat Malaysia.”
Pengguna Zainol Azhar turut menyuarakan kebimbangan yang serupa; Zainol Azhar
“Tuanku, negara dan rakyat tidak akan berada di dalam keadaan yang baik jika
income negara tidak berkembang.
“Pelabur asing hilang kepercayaan jika kerajaan itu rapuh. Kini pun terdapat
banyak sektor-sektor awam telah mulai tutup sedikit demi sedikit. Ada di
antara para pelabur asing pun sudah mulai berpindah arah ke negara-negara
lain.”
Untuk rekod, sebelum ini beberapa pemimpin politik dari Umno mahupun
pembangkang membangkitkan isu yang sama.
Antaranya Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh pula menggesa kerajaan
terutamanya Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri agar lebih giat memainkan peranan membawa masuk pelaburan asing ke
dalam negara serta merangka pelan untuk memanfaatkan pelaburan untuk rakyat
dan ekonomi negara.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut menuntut Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali menjelaskan tindakan segera
kerajaan bagi menangani kejatuhan terus pelaburan langsung asing (FDI) negara.
Dia turut memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai
Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang diterbitkan 24 Jan, FDI Malaysia
merosot sehingga 68 peratus - jauh teruk berbanding negara negara lain Asean
yang disebut dalam laporan itu.
ARTIKEL BERKAITAN:
3 Februari 2021 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah...
Posted by Istana Negara on Tuesday, 2 February 2021
Join our Telegram Channel