AYAH SAYA BERSERAH KEPADA ALLAH
Ayah saya seorang yang cekal. Dalam kerjaya politiknya dia telah menempuh
pelbagai dugaan dan cabaran.
Beberapa kali saya pernah melihat dia kecewa dengan pelbagai keadaan yang
berlaku. Tetapi saya tidak pernah melihat dia patah semangat.
Ada kalanya dia mendiamkan diri selama beberapa jam.
Namun selepas itu dia bangkit semula dan berbuat sesuatu untuk memperbaiki
keadaan.
Dia pernah berkata kepada saya bahawa sebagai manusia kita boleh merancang
namun tidak semua perkara yang di bawah kawalan kita, dan sebab itu kita
perlu berdoa dan serah kepada Allah selepas kita berusaha.
Saya selalu melihat ayah saya berdoa.
Antara doanya yang paling panjang dan khusyuk adalah ketika dia berada di
dalam Ka'abah beberapa tahun lalu.
Bagi Ayah, memasuki Ka'abah kali pertama dan kedua merupakan suatu rahmat
yang amat menakjubkan.
Ianya tidak dirancang dan tidak dijangka dan pengalaman dan perasaannya
sukar diterangkan.
Allah Maha Besar telah merahmati Ayah untuk bersolat di dalam tempat yang
paling suci dalam Islam.
Ayah telah diizinkan oleh Allah SWT untuk memasuki Ka'abah selama tiga kali.
Kali pertama berlaku pada akhir 1980an sewaktu beliau menjawat jawatan
Menteri Belia dan Sukan.
Ayah dan Ibu waktu itu menunaikan umrah bersama.
Pada masa itu, Mekah sedang mengacarakan Pertandingan Tilawah Al Quran.
Salah satu tarikan utama pertandingan tersebut adalah dengan memberi
penghargaan kepada peserta-peserta dengan peluang untuk memasuki Ka'abah.
Sewaktu menunaikan Tawaf, Ibu ternampak pengawal-pengawal keselamatan sedang
menolak tangga bergerak ke arah pintu Ka'abah untuk membolehkan para peserta
memasuki Ka'abah.
Ibu mencadangkan kepada Ayah supaya mencuba nasib dan terus ke pintu dan
melihat sekiranya beliau boleh turut masuk.
Ayah tidak rasa dia boleh masuk dengan cara ini, dia berfikir, “Semestinya
ada senarai nama rasmi dan tengok sahaja bilangan pegawai-pegawai
keselamatan yang mengelilingi mengawal pintu masuk."
Jadi, mereka meneruskan dengan menunaikan Sa’i.
Dalam perjalanan keluar dari Masjid, tiba-tiba ibu ternampak pintu Ka'abah
masih terbuka.
Ibu terus mendorong Ayah untuk mencuba nasib sekali lagi. Dan syukur, kali
ini, Ayah bersetuju.
Mereka berdua mengharungi jemaah yang sesak dan berjaya untuk sampai ke
hadapan tangga Ka'abah yang dikawal rapi dan ketat.
Sampai di pintu Ka'abah, isu lain pula timbul. Mereka berdua tidak tahu
berbahasa Arab.
Dengan askar-askar tegas memandang tajam, Ayah terpaksa bertindak pantas.
Beliau bertutur cara beberapa patah perkataan asas bahasa arab yang
dipelajari dalam perjalanan - “Wazeer Riyadah Malazee!” “Wazeer Riyadah
Malazee!”
Dan tanpa disangka, tanpa passport atau sebarang bentuk dokumen pengenalan
untuk mengesahkan identiti beliau, barisan askar berteriak, “Ta Fadl!”.
Mereka ke tepi dan memberi laluan kepada Ayah untuk masuk ke Ka'abah dan
memberitahu Ibu supaya menunggunya di Hijr Ismail.
Kisah kali kedua Ayah dapat memasuki Ka'abah adalah lebih tidak disangka.
Ia berlaku pada awal tahun 1990an sewaktu Ayah menjawat jawatan Menteri
Pertahanan.
Pada ketika itu beliau sedang menunaikan Umrah dengan Ibu dan Arwah Tok (Tun
Rahah).
Sewaktu di hotel, Ayah terdengar pihak berkuasa masjid sedang merancang
untuk membuka Ka'abah kerana ia adalah masa untuk pembersihan dan menukar
Kiswah.
Tan Sri Abang Abu Bakar, Menteri di JPM bertugas dalam Hal Ehwal Agama pada
masa itu turut berada di Mekah untuk mesyuarat dengan Menteri-menteri dan
pegawai-pegawai Malaysia untuk berunding menambah kuota haji.
Delegasi Malaysia telah diberi penghargaan sebanyak lapan pas untuk memasuki
Ka'abah untuk membantu dalam upacara pembersihan Ka'abah.
Tentu sekali, pegawai Ayah membuat pertanyaan kepada pasukan protokol Saudi
berkenaan satu pas tambahan untuk Ayah menyertai delegasi tetapi malangnya
kesemua slot telah penuh.
Namun demikian, seorang pegawai protokol Saudi telah sudi untuk memeriksa di
pejabat beliau jika ada pas tambahan walaupun beliau meningatkan ianya
sangat tidak mungkin. Tiada siapa yang mahu memberikan pas yang sungguh
berharga kepada orang asing.
Pada malam itu pegawai protokol Saudi tersebut telah ke meja pejabat beliau
dan menyelongkar laci-laci meja beliau.
Tanpa disangka beliau terjumpa satu pas di laci paling bawah. Hanya tinggal
satu pas masuk sahaja.
Pas masuk itu terselit keluar di meja beliau sewaktu beliau menyelak
timbunan kertas.
Pegawai protokol tersebut terkelu lidah kehairanan.
Pada pukul 4 pagi, Ayah terbangun dek ketukan kuat di pintu. Ia merupakan
pegawai protokol Saudi tersebut.
“Tuan, Allah telah kurniakan jemputan ini kepada tuan”, kata pegawai
tersebut.
Sehingga hari ini, setiap kali saya mengimbau cerita ini, saya juga
kehilangan kata-kata.
Kali ketiga Ayah memasuki Ka'abah adalah dengan keluarga tersayang pada
tahun 2018.
Ini amat bermakna atas sebab yang istimewa: sebagai seorang anak lelaki
sulung, ayah berniat ingin membawa Bondanya yang tersayang iaitu Arwah Tok
Tun Rahah ke dalam Ka'abah.
Semasa Ayah berjumpa dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman, Baginda bertanya
kepada Ayah secara peribadi, “Adakah apa-apa yang Beta boleh buat untuk
keluarga anda, apa-apa sahaja?”
Ayah menjawab, “Ada Tuanku, patik ada satu permintaan peribadi. Adalah satu
hajat dan impian Bonda saya untuk memasuki dan bersolat di dalam Ka'abah.
Saya ingin menunaikan impian ini untuk Bonda saya”.
Alhamdulillah Raja Salman telah bersetuju dan mengaturkan apa yang perlu
untuk Ayah dan Arwah Tok dan keluarga untuk bersolat di dalam Ka'abah pada
bulan Januari 2018.
36 bulan selepas itu Arwah Tok (Tun Rahah) telah kembali ke Rahmatullah.
Saya percaya bila Allah SWT mahukan sesuatu untuk terjadi, walau apa pun
kemungkinan dan kebarangkalian, DIA akan jelaskan perjalanan hambaNya dan
mempermudahkan segalanya.
Subahanallah.
Doakan ayah saya.
NOORYANA NAJIB RAZAK
Join our Telegram Channel