PETALING JAYA: Pas sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja ahli politik
termasuk bagi mereka yang ingin melompat parti.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pentas parti amat terbuka
kepada semua termasuk pemimpin politik dipecat daripada parti masing-masing
malah sering kali menjadi tempat persinggahan bukan sekadar menerima
penyertaan ahli biasa.
Kata beliau, antaranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada
1969; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada 1990 dan bekas
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu peristiwa reformasi
1999.
“Adakalanya melompat-lompat boleh memperkemaskan tanah tempat berpijak,
begitulah lompatan kepada Pas juga akan memperkemaskan lagi asas perjuangan.
“Pas sendiri pernah mengalami kemerosotan apabila ahlinya keluar atau melompat
sehingga mengeluarkan dirinya sendiri dan perkara ini berlaku di semua
peringkat. Ini menunjukkan mereka yang tidak mempunyai manfaat kepada Pas akan
dikeluarkan daripada parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi merangkap Ahli Parlimen Marang menceritakan
pengalaman Pas menyaksikan beberapa siri wakil rakyat melompat menerusi
kerjasama dengan parti lain seperti Parti Negara dan Semangat 46 sehingga
menyaksikan kejatuhan kerajaan negeri.
“Kini Parti Negara sudah mati selepas Datuk Onn meninggal dunia, malahan wakil
rakyatnya melompat keluar sehingga menjatuhkan kerajaan Pas di Terengganu
bersama beberapa wakil rakyat kita yang turut melompat keluar. Walau
bagaimanapun, kita tetap bangkit semula selepas itu bagi menawan semula
Terengganu.
“Kita pernah bertahaluf bersama Semangat 46 dan menawan Kelantan sehingga ke
hari ini akan tetapi hari ini parti itu sudah mati kerana pemimpinnya juga
telah melompat keluar dan ia bukan salah Pas,” katanya.
Beliau justeru itu meminta semua agar tidak menghukum Pas apabila ada golongan
yang beberapa kali melompat keluar meninggalkan parti.
“Hukumlah diri sendiri, Pas hanya mengambil manfaat daripada politik lompat
melompat. Hanya mereka yang melompat dengan niat tidak ikhlas bersama Pas
sahaja akan patah kakinya,” katanya.
Abdul Hadi menegaskan Pas terus menegakkan integriti, bukan sekadar
menyebutkan slogan bagi memancing undi rakyat menubuhkan kerajaan tetapi
sebagai persediaan mengadap Tuhan.
“Tegas adalah kita mendukung prinsip tiada pemisahan politik daripada agama.
Maka, Pas tidak menjadikan lompat parti sebagai suatu perkara yang boleh
menghalang perjalanannya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel