Keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan hubungan dengan Bersatu
menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah selepas Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin mendesak Umno menyatakan pendirian.
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mendedahkan bahawa dalam pertemuan 15
Februari antara Bersatu, PAS, dan Umno, Muhyiddin meminta Umno membuat
pendirian yang jelas mengenai kerjasama dengan Bersatu sebelum rundingan
kerusi dapat dilakukan.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata bahawa lima pemimpin dari setiap parti hadir
dalam pertemuan itu.
"Di dalam pertemuan tersebut perdana menteri merangkap Presiden Bersatu
Muhyiddin Yassin meminta agar Umno membuat pendirian jelas berkenaan kedudukan
kerjasama dengan Bersatu sebelum sebarang rundingan pengagihan kerusi dapat
diteruskan bagi menghadapi PRU-15," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Bersatu dilaporkan akan membincangkan hubungannya dengan Umno
petang ini, maklum Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin.
Katanya, kedudukan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan turut
dibincangkan.
Ini selepas Umno menghantar surat, mengatakan jalinan kerjasama dengan Bersatu
akan berakhir sebaik sahaja pilihan raya umum (PRU) ke-15 bermula.
Hamzah pada kenyataannya pagi ini, mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid
Hamidi telah menghantar surat itu pada 26 Februari.
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan bahawa MT Umno telah mengadakan mesyuarat
pada 19 Feb lalu dan mencapai keputusan untuk menentukan hasrat permintaan
presiden Bersatu itu diterima atau sebaliknya.
"Justeru keputusan ini dicapai setelah mengambil kira pandangan akar umbi dan
mempertimbangkan secara cermat, buruk baiknya keberadaan dalam kerajaan ketika
rakyat berhadapan dengan pandemik Covid-19," katanya. – Mkini
ARTIKEL BERKAITAN:
- Umno sah hantar surat tamat kerjasama dengan Bersatu
- Bersatu mesyuarat petang ini, bincang Umno minta putus
- Umno putus hubungan dengan Bersatu lepas Muhyiddin gesa nyatakan pendirian
Join our Telegram Channel