PETALING JAYA: Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa
mencadangkan Muafakat Nasional 2.0 ditubuhkan untuk disertai Perikatan
Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan
Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“PAS boleh mengurusetiakan Muafakat Nasional 2.0,” tulisnya di Twitter sambil
menambah gerakan itu boleh dibuka kepada semua gabungan politik yang
berpaksikan penyatuan pemikiran pemimpin Melayu sealiran.
“Kami bersedia mendokongnya,” kata menteri Wilayah Persekutuan itu.
Semalam, PAS dan PPBM dalam kenyataan bersama mengumumkan mereka akan
mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 serta menolak
sebarang cubaan membentuk kerajaan baharu melibatkan Pakatan Harapan.
Kedua-dua parti itu turut bersetuju menubuhkan mekanisme di peringkat pusat
bagi memutuskan pengagihan kerusi menjelang PRU15.
Kenyataan itu menyusul mesyuarat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden
PPBM, Muhyiddin Yassin semalam, berikutan keputusan Umno pada perhimpunan
agungnya hujung minggu lalu untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada PRU15.
Malah, beberapa pemimpin kanannya turut menggesa PAS memilih antara Umno atau
PPBM sebagai sekutunya pada PRU15.
Join our Telegram Channel