Beri laluan Najib terajui UMNO



PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat mampu memberi sinar baharu kebangkitan semula UMNO mengambil kira pengalaman dan kebijaksanaannya memimpin parti dan negara.

Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, bekas Perdana Menteri itu mempunyai kebolehan tersebut dan beliau boleh berperanan untuk menguatkan UMNO kembali demi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), apatah lagi imej beliau sudah diterima baik rakyat.

“Kemampuan Najib itu ada untuk berperanan memimpin UMNO semula. Dalam hal ini peranan Najib boleh digunakan untuk menghidupkan balik dan menguatkan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd. Irwan Rizal berkata, UMNO tidak boleh lagi menangguhkan pemilihan parti dan perlu diadakan sebagaimana dijadualkan bagi menyelesaikan pelbagai isu kepimpinan sedia ada.

Beliau berkata, apa yang paling utama adalah memastikan pemilihan Presiden yang mampu dijadikan sebagai ikon dan diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri.

Kata beliau, pemilihan kali ini amat penting kerana ia merupakan peluang kepada UMNO untuk memberi nafas baharu dalam konteks menyediakan barisan kepimpinan yang akan diketuai oleh individu yang mempunyai ciri-ciri seorang ketua kerajaan.

Apatah lagi, katanya, imej Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sudah tercalar dan sudah tidak ada taring lagi untuk mengemudi UMNO ekoran kebocoran audio perbualan telefon antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Ia merupakan salah satu faktor untuk pemilihan tidak boleh ditangguhkan lagi. Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu mengadakan mesyuarat dan menetapkan agar pemilihan diadakan tanpa sebarang penangguhan.

“Penangguhan pemilihan tidak menjamin bahawa UMNO akan semakin kuat. Telah terbukti sebelum ini, pemilihan ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah,” katanya.

Sebelum ini ramai pimpinan UMNO mendesak Ahmad Zahid berundur secara terhormat dan mengadakan pemilihan UMNO dengan segera bagi menyelesaikan kemelut dalamannya.

Antaranya Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang turut berbuat demikian ekoran audio mirip Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular sekali gus memberi kesan buruk kepada UMNO. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram