KETUA Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay meminta para pegawai dan
anggota polis yang mengamalkan rasuah dalam perkhidmatan agar segera
menghentikan segala perbuatan tersebut kerana masyarakat mengetahui apa yang
mereka lakukan.
Beliau berkata, pegawai dan anggota polis yang korup tersebut tidak boleh
berlakon atau berselindung di sebalik pakaian seragam dan menganggap pihak
atasan atau masyarakat bodoh dan tidak tahu mengenai kegiatan mereka.
“Saya sering dapat aduan mengenai tempat-tempat pelacuran, perjudian dan
sebagainya dengan ada pegawai didakwa mengambil duit, sehinggakan ada pemberi
maklumat mengambil video sebagai bukti perbuatan pegawai polis tersebut,”
katanya.
Katanya, perbuatan penguat kuasa yang memakan rasuah dan menunjukkan imej baik
dengan menggangap perbuatan mereka sebagai perkara biasa tidak lagi boleh
diterima oleh masyarakat sekarang.
Ayo Khan berkata, disebabkan itu selain penguat kuasa, ramai individu kenamaan
sekarang yang telah ditangkap dan dituduh di mahkamah kerana kesalahan rasuah.
“Orang yang makan rasuah ni tunggu masa sahaja bila akan ditangkap dan
dihadapkan ke mahkamah..mungkin juga dia terlepas sekarang..tetapi apabila
pencen, perbuatan itu akan menghantui hidupnya dan keluarga,” katanya dalam
sesi temu bual besama Malaysia Gazzette, semalam.
Beliau berkata, perkara yang paling penting perlu diingat oleh pegawai atau
anggota polis ialah mereka adalah orang Islam atau penganut agama-agama lain
yang mana semua agama menegah perbuatan memakan rasuah atau bersekongkol
dengan penjenayah.
“Kalau kita makan rasuah dan mempunyai banyak duit sekalipun, apa yang boleh
dilakukan dengan duit yang banyak tersebut kerana ia bukan boleh digunakan
untuk dibawa ke dalam kubur,” katanya.
Katanya, pegawai tinggi polis juga jangan ingat dosa mereka akan habis begitu
sahaja apabila melantik pegawai-pegawai yang tidak bersih bagi meneruskan
legasi kerana setiap perbuatan dosa yang dilakukan pegawai tersebut, saham
dosanya akan terkena juga kepada mereka.
Menyentuh mengenai sesetengah pihak meragui pengalamannya apabila ditukar
menjadi pemimpin polis nombor satu di Johor kerana selama ini lebih lama
berada di Bukit Aman dalam Cawangan Khas, Ayob Khan berkata, memang pandangan
tersebut berlaku pada awal perpindahannya.
“Selain menggunakan pengalaman ketika mengetuai atau menyertai operasi-operasi
di di dalam Cawangan Pasukan Khas Bukit Aman, saya juga mempunyai pasukan
polis yang terbaik di Kontinjen Johor untuk membantu,” katanya.
Katanya, misalnya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Johor, SAC Md Yusof
Ahmad merupakan pegawai senior berpengalaman yang tahu setiap aktiviti jenayah
di seluruh Johor.
“Saya dengan dia ni satu kepala, saya kepala operasi dan dia pun kepala
operasi,” katanya.
Selain itu, Ayob Khan berkata, beliau juga sering memberi peluang kepada
pegawai-pegawai muda untuk memberikan idea-idea kreatif dalam menangani
kegiatan penjenayah.
Join our Telegram Channel