Pengerusi Umno Perlis, Shahidan Kassim membidas kenyataan Ahli Majlis
Tertinggi (MT) parti itu, Tajuddin Abdul Rahman yang menggelarkannya sebagai
‘bodoh’ kerana mengeluarkan kenyataan berhubung kerjasama Umno dan Bersatu.
Tajuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Shahidan baru-baru ini yang
berkata, meskipun MT Umno telah membuat keputusan namun, yang menentukan sama
ada sokongan kepada kerajaan PN ditarik balik ataupun tidak adalah ahli
parlimen BN.
“Keputusan MT selama ini semua saya ikut, keputusan terbaru juga saya ikut
kerana (putus hubungan dengan Bersatu) hanya akan dilaksanakan pada waktu
menjelang pilihan raya umum (PRU).
“Cuma dalam perkataan saya sebut ‘kalau boleh’ (keputusan dibuat ahli
parlimen). Tidak boleh tidak mengapalah. Putus, putuslah,” katanya kepada
Malaysiakini hari ini.
Perhimpunan agung Umno (PAU) baru-baru ini bersetuju memberikan mandat kepada
majlis tertinggi parti itu untuk menentukan bilakah tarikh yang tepat untuk
menarik diri daripada kerajaan PN susulan keputusannya untuk memutuskan
hubungan dengan Bersatu.
Bagaimanapun, Shahidan membuat kenyataan yang disifatkan bercanggah dengan
parti setelah menyatakan keputusan itu terletak di tangan wakil rakyat Umno.
Beberapa pemimpin Umno tidak bersetuju dengan pandangan ahli parlimen Arau
itu, yang juga ahli majlis tertinggi Umno.
Mereka sebaliknya menuntut agar semua anggota parlimen daripada Umno
menghormati keputusan majlis tertinggi.
Tajuddin ketika bercakap kepada Malaysiakini menggesa ahli-ahli parlimen Umno
yang tidak setuju dengan keputusan parti itu untuk keluar daripada PN agar
membuat keputusan sama ada mahu kekal bersama Umno atau sebaliknya.
Dia juga mempersoalkan kenyataan Shahidan, yang disifatkannya sebagai "bodoh".
"Yalah, ahli-ahli parlimen tu dia orang apa partinya? Jadi ahli parti mana?
Umno BN-lah. Apa bodoh sangat Shahidan tu?" katanya.
Sementara itu, Shahidan menyifatkan kenyataan Tajuddin kepadanya itu sangat
tidak wajar, lantas menyifatkan ahli parlimen Pasir Salak itu ‘bangang’.
Join our Telegram Channel