TERKINI: 12 menteri letak jawatan serta-merta



New Delhi: Berikutan lonjakan kes Covid-19 awal tahun ini, 12 menteri, termasuk Menteri Kesihatan di India mengambil keputusan meletak jawatan semalam.

Peletakan jawatan itu adalah sebahagian daripada rombakan dan pengembangan Kabinet Perdana Menteri Narendra Modi menjelang tujuh pilihan raya negeri, pada 2022.

Menteri Kesihatan, Harsh Vardhan, 66, sebelum ini dikritik ketika lonjakan jangkitan Covid-19 pada April dan Mei lalu.

Beliau dikecam susulan penularan varian baharu virus itu, kelemahan sekatan dan kenyataannya mengenai keadaan di India yang berada di peringkat akhir pandemik, beberapa minggu lalu.


Perkhidmatan kesihatan berada dalam tekanan teruk di banyak kawasan dengan hospital kekurangan katil, oksigen perubatan dan ubat.

Angka kematian rasmi di India melepasi 160,000 pada akhir Mac dan kini sudah melebihi 400,000 kes.

Ramai pakar percaya jumlah sebenar kes adalah beberapa kali ganda lebih tinggi.

Puluhan muka baharu dilantik menganggotai Kabinet baharu Modi menjadikan keseluruhan seramai 77 menteri, berbanding 52 orang sebelum ini.


Lebih 12 menteri berasal dari negeri seperti Uttar Pradesh dan Gujarat yang mewakili kasta dan komuniti serantau berbeza, faktor dominan dalam politik pilihan raya India.

Empat anggota dari selatan Karnataka juga dilantik termasuk jutawan media terkemuka, Rajeev Chandrasekhar dan Shobha Karandlaje.

Karandlaje bagaimanapun memiliki beberapa rekod kes polis susulan kenyataannya yang dikatakan anti-Muslim.

Sementara itu, enam menteri wanita lain turut dilantik dalam Kabinet baharu. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram