‘Demi negara, saya akan bantu Ismail Sabri’ – Hishammuddin



CYBERJAYA: Ahli Parlimen Sembrong, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan akan mengstabilkan negara kembali ekoran krisis politik yang berlaku.

Katanya, dengan pelantikan ini membolehkan pentadbiran baharu negara kembali menumpukan terhadap usaha menangani krisis COVID-19, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat.

“Tahniah YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang telah diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.


“Saya telah sebut beberapa hari lepas, perkara terpenting yang negara perlukan ketika ini ialah kestabilan. Ia demi membolehkan negara kembali menumpukan terhadap usaha menangani krisis #COVID19, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat.

InsyaAllah, saya akan bantu sebaiknya menerusi apa jua kapasiti yang saya ada demi kepentingan negara tercinta.

“Selamat menjalankan amanah Dato’ Sri. Semoga Allah SWT merahmati ketentuan ini. Amin Ya Rabbal Alamin.”  ujar beliau.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan AbdullahRi’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu sepakat berkenan mengangkat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.


Baginda bertitah, berdasarkan surat-surat akuan yang dipersembahkan daripada seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ahli Parlimen Bera memiliki jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Menurut kenyataan Istana Negara yang disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Ismail Sabri untuk Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan. – SuaraTV



Join our Telegram Channel
Telegram