Muda umum bertanding #PRNMelaka guna tiket PH



MELAKA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang ditolak pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengumumkan akan meletakkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda bakal bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) dan rundingan mengenainya belum dimuktamadkan.

Menurutnya, perbincangan telah diadakan beberapa kali, namun sehingga kini belum ada kata putus berkenaan jumlah kerusi yang akan ditandingi mereka.


“Memang benar kami akan bertanding di bawah PH kerana parti kita telah ditolak oleh ROS untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

“Kita tetap ingin mengambil bahagian dalam PRN Melaka dan perkara ini masih dirundingkan bersama dalam blok pembangkang (PH) dan akan diumumkan bersama selepas mencapai kata putus mengenai anggaran jumlah kerusi.

 “Rundingan ini telah bermula beberapa kali, tunggulah masanya untuk kita umumkan selepas tempoh rundingan tamat,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Stadthuys, Banda Hilir di sini hari ini.

Syed Sadiq menambah, Muda bertanding kerana ingin membawa mesej penting menolak politik ‘katak’ yang dilihat tidak berintegriti dan bersandarkan pangkat dan jawatan semata-mata. 


Justeru, katanya, pihaknya akan mengetengahkan calon kelahiran anak negeri ini yang terdiri daripada orang muda, dinamik, berpengalaman dan mempunyai rekod perkhidmatan baik kepada masyarakat.

Beliau memberi contoh, Pengerusi Muda Melaka, Yosh Wong, seorang usahawan yang menggerakkan pelbagai aktiviti sosial dengan menubuhkan Yellow Food di negeri ini, membantu kira-kira 52 gelandangan mendapatkan pekerjaan.

“Ini adalah masa untuk mereka meyerlahkan diri untuk berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengejar pangkat dan kuasa, mengubah Melaka dan mengubah Malaysia.

“Soal kalah atau menang dalam PRN ini itu tidak penting buat kami, kerana yang lebih penting adalah untuk menonjolkan calon yang berkhidmat untuk masyarakat,” ujarnya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram