#PRNMelaka: PH Melaka bertelagah selepas penyertaan lewat MUDA



PETALING JAYA: MUDA, parti belum berdaftar pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan menyertai persaingan undi dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, sesuatu yang dialu-alukan parti pembangkang.

Namun, timbul persoalan besar mengenai di mana calon-calonnya sesuai ditempatkan.

Walaupun penyertaan MUDA disambut baik oleh parti komponen Pakatan Harapan – PKR, DAP dan Amanah – pakar meramalkan berlakunya masalah dalam rundingan kerusi kerana MUDA mungkin menuntut kerusi yang PH percaya boleh dimenanginya.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, MUDA belum membuktikan nilai dan pengaruhnya dalam kalangan pengundi dan PH mungkin keberatan melepaskan kerusi yang dilihatnya boleh dimenangi.


Terdapat ura-ura mengatakan ketiga-tiga anggota gabungan itu sendiri sedang bertelagah antara satu sama lain.

“Penyertaan MUDA mungkin menjadi masalah besar bagi anggota PH yang juga akan mengintai kerusi yang sama,” kata Azmi kepada FMT.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dan mungkin berlaku pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan PH pada pilihan raya 20 Nov.

Oh Ei Sun, felo di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, MUDA mungkin akan meminta kerusi pinggir bandar dengan pengundi bercampur kerana peluangnya di kawasan majoriti Melayu tidak menentu.


Katanya, ini berkemungkinan menjejaskan DAP dan PKR kerana mereka “tiada peluang sama sekali” di kawasan majoriti Melayu.

Jika PKR dan DAP enggan menurut permintaan MUDA, ia mungkin akan meminta untuk bertanding di kawasan Melayu, yang diintai Amanah.

“Amanah juga mungkin membantah pemberian kerusi Melayu,” kata Oh.

Bagaimanapun beliau berkata, MUDA mengambil langkah tepat dengan memilih untuk bekerjasama dengan PH, memandangkan parti baharu itu kini akan disokong oleh jentera yang kuat.

Penganalisis Kenneth Cheng berkata, MUDA patut bertanding di kerusi yang ditandingi Bersatu pada pilihan raya umum lepas (PRU14) ketika masih menganggotai PH.


“Ini tidak akan mengambil kerusi sesiapa pun,” kata Cheng, yang juga ahli rangkaian intelektual, Agora Society.

Pada PRU14, Bersatu bertanding di enam kerusi DUN Melaka dan memenangi dua daripadanya. DAP dan PKR masing-masing bertanding di lapan kerusi, manakala Amanah di enam kerusi. DAP memenangi kesemua lapan kerusi, PKR memenangi tiga dan Amanah dua.

Bagaimanapun Cheng berkata, langkah MUDA bekerjasama dengan PH dilihat janggal kerana sebelum ini, ia pernah berkata, ia berbeza daripada gabungan tersebut dan tidak mahu didominasi oleh golongan veteran. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram