Jerman benar lelaki, wanita 'topless' di kolam awam demi keadilan



BERLIN – Sebuah bandar di Jerman akan membenarkan penduduknya sama ada lelaki atau wanita berenang dalam keadaan mendedahkan dada di kolam renang awam, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.

Goettingen yang terletak di  tengah Jerman,  akan menjadi bandar pertama membenarkan peraturan ini di negara tersebut.


Jawatankuasa sukan Goettingen mengesyorkan pihak pengurusan kolam di bandar itu supaya membenarkan semua perenang mandi secara ‘oben-ohne’ (tanpa baju mandi) setiap hujung minggu mulai 1 Mei ini, kata jurucakap pihak berkuasa tempatan.

Keputusan itu dibuat selepas seorang perenang ‘pengkid’ diminta memakai baju renang yang menutup dadanya di sebuah kolam tempatan. Wanita itu membantah kerana  menganggap dirinya sebagai lelaki.

Pihak berkuasa tempatan kemudian memutuskan bahawa cara paling adil untuk menyelesaikan isu tersebut adalah dengan mengadakan hari di mana semua perenang boleh mandi dengan mendedahkan dada tanpa mengira jantina.


Selain kolam renang, majoriti sauna di Jerman tidak mempunyai segmen lelaki atau wanita sebaliknya memilih konsep terbuka dan memerlukan pelanggan menanggalkan pakaian atas sebab kebersihan.

Beberapa penduduk tempatan berkata,  langkah itu masih tidak cukup memuaskan hati kerana mereka berasakan waktu hujung minggu yang diberikan adalah terlalu singkat.

Pihak berkuasa tempatan namun berkata, peraturan hujung minggu itu wajar bagi mengelakkan aktiviti pelajaran renang pelajar sekolah terjejas. – Agensi

 

Join our Telegram Channel
Telegram