Pengguna Maybank berang, duit ghaib lagi



PETALING JAYA – Pengguna Maybank dilihat berang dan marah apabila tidak dapat membuat sebarang transaksi secara dalam talian serta kad debit tidak dapat digunakan.

Malah lebih mengejutkan apabila ada segelintir pengguna mendakwa kesemua wang di dalam akaun bank mereka lesap.

Tinjauan Kosmo! mendapati akaun media sosial rasmi milik Maybank turut ‘diserang’ oleh pengguna akibat daripada masalah itu.


Rata-rata orang ramai marah dan berharap agar pihak Maybank dapat menyelesaikan isu ini dengan segera.

“Bayaran yang saya lakukan telah ditolak tetapi duit sudah dipotong daripada akaun bank. Cuba untuk hubungi khidmat pelanggan tetapi tiada respons. Bagaimana saya mahu selesaikan perkara ini?” kata Mohamad Muzakkir Barhim.

“Saya sedang membeli barangan runcit dan juruwang mencuba tiga kali pada mesin tetapi tidak menjadi, kemudian apabila saya menyemak aplikasi Maybank2u saya, ia menunjukkan potongan tiga kali pada jumlah yang sama?!! Urus niaga itu tidak berlaku. Saya cuba menghubungi talian hotline Maybank tetapi sibuk,” jelas RabanJoo Prilen.

Sementara itu, Nadia Natalie Woo menyoal kemanakah kesemua wang yang disimpan di dalam akaun Maybanknya setelah ia menunjukkan baki akaun RM0.00.


“Baki pada akaun saya menunjukkan RM0.00! Ke manakah kesemua wang saya pergi?” ujarnya.

Dalam pada itu, Maybank di Faceboooknya memaklumkan penggunaan kad debit tergendala seketika dan Maybank juga sedang berdepan masalah teknikal di aplikasi miliknya iaitu MAE, M2U MY dan lama web Maybank2u.

“Harap maklum bahawa penggunaan kad debit tidak tersedia buat sementara waktu, dan pada masa ini kami mengalami kelembapan sekejap pada aplikasi MAE, M2U MY dan laman web Maybank2u.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan sedang berusaha untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin. Terima kasih atas kesabaran dan pemahaman anda,” katanya. – Kosmo


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram