Bekas duta, anak tak mengaku salah tanam 102 pokok ganja



RAUB: Seorang bekas diplomat dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menanam pokok ganja, bulan lepas.

Zainal Abidin Alias, 78, dan Mohamed Rizal, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Dua beranak itu didakwa bersama-sama menanam sejumlah 102 pokok ganja di sebuah rumah di Kampung Sum-Sum Hilir, Janda Baik, Bentong pada 6.10 petang, 21 Mei lepas.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Pahang Mohammad Khalid Ab Karim, Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal Abu Hassan dan Anisah Pisol, manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh manakala Rahmat memberitahu pihaknya telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada 2 Jun berhubung pertuduhan terhadap anak guamnya.


Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 Julai.

Pada Jumaat lepas, mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong atas pertuduhan mengedar 1,020 gram dadah jenis ganja dan menyimpan 60 mililiter minyak ganja dan bagi pertuduhan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 39B akta sama yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mohamed Rizal juga berdepan pertuduhan menggunakan dadah jenis THC di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada 8.40 malam, 23 Mei lepas. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram