Mahkamah Rayuan kekal keputusan anak Mat Sabu bebas kes dadah



PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengesahkan pembebasan Ahmad Saiful Islam, anak bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu daripada sabitan penyalahgunaan dadah.

Hakim Kamaludin Md Said menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan ke atas Saiful di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan hukuman penjara lapan bulan.

“Kami berpuas hati dengan hakim Mahkamah Tinggi (dalam memutuskan rayuan Saiful) telah mempertimbangkan bukti secara keseluruhan. 


“Timbul keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, oleh itu sabitan berkenaan tidak selamat,” kata Kamaludin yang mengetuai panel tiga hakim. Dua hakim lain ialah Gunalan Muniandy dan Hashim.

Tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Lawrence Sequerah melepas dan membebaskan Saiful daripada tuduhan dadah atas alasan polis hanya mengambil satu sampel, berbanding dua sampel urin untuk dianalisis.

“Perayu telah dinafikan dua sampel urin dan ini adalah garis panduan prosedur ketat yang harus dipatuhi.”

Mahkamah juga menyatakan bahawa mengambil hanya satu sampel air kencing telah membuka kemungkinan berlakunya pencemaran kerana sampel yang digunakan oleh polis untuk kedua-dua ujian saringan dan ujian pengesahan ahli kimia.


Saiful didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 2.05 pagi 5 Jan 2019.

Pada 2020, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Peguam Nicholas Kow dan Emile Ezra Hussain mewakili Saiful, manakala Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai mewakili pihak pendakwaan. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram