Kasthuri Patto umum tidak tanding #PRU15



GEORGE TOWN: Penyandang kerusi Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mengumumkan tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memberi laluan kepada calon lain mewakili DAP di kerusi berkenaan.

Kasthuri yang menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan selama dua penggal di kerusi berkenaan berkata, keputusan tersebut adalah perkara paling sukar yang perlu dibuat dalam hidupnya.

”Saya berundur dengan rela hati dan tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang untuk memberi laluan kepada pemimpin masa depan dalam DAP. Saya akan selamanya terhutang budi kepada parti kerana menyediakan platform berkhidmat kepada rakyat dan negara selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Batu Kawan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP, di sini hari ini.


Menurut Kasthuri, kepemimpinan parti telah memujuknya untuk memikirkan semula keputusan itu.

Bagaimanapun setelah berfikir panjang, beliau tetap dengan keputusan tidak bertanding dan mendapat sokongan serta restu penuh daripada kepemimpinan parti.

“Terdapat khabar angin saya telah digugurkan, tetapi ini tidak berlaku kerana saya berundur atas kerelaan sendiri,” katanya. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram