Kos #PRU15 naik jika tak bubar DUN, tapi jangan salahkan kami, kata PAS



PETALING JAYA: Jangan salahkan PAS jika kos pilihan raya umum ke-15 (PRU15) meningkat kerana tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga negeri diterajui parti itu, kata naib presidennya Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau yang juga menteri besar Terengganu berkata, sebaliknya pihak yang bertegas mahu mengadakan pilihan raya perlu dipersalahkan dan bertanggungjawab kerana mengheret rakyat mengadakan pilihan raya.

Katanya, PAS memang jelas konsisten mahu ia diadakan sehingga tamat tempoh pemerintahan.


“Siapa yang mula-mula nak buat pilihan raya dalam keadaan menyusahkan rakyat yang mana mereka tahu bahawa negeri-negeri tidak berhajat mengadakan pilihan raya dan telah dimaklumkan kepada mereka termasuk negeri-negeri daripada PH (Pakatan Harapan).

“Jadi bila diberitahu tidak ada hujah yang kuat untuk buat pilihan raya tetapi mereka nak buat juga, jadi mereka sebenarnya yang mengheret rakyat kerana memenuhi kehendak peribadi beberapa pemimpin mereka yang ada agenda peribadi bukan agenda rakyat atau negara,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.


Samsuri berkata, PAS tidak membubarkan DUN berdasarkan pendirian PAS yang menolak PRU15 diadakan kerana mahu memberi fokus kepada kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Dari segi kekuatan jentera kita akan bergerak sebagaimana kita berdepan dengan pilihan raya sebelum ini, tidak pernah berkurangan…Insya-Allah,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram