Suatu pertemuan tertutup antara Presiden Umno Ahmad Zahid dan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi bersama 40 Adun BN Johor diadakan malam ini.
Bernama melalui hantaran di Facebook melaporkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna putih yang dipercayai membawa Zahid tiba di kediaman rasmi menteri besar Johor pukul 8.16 malam tadi.
Bernama turut membuat hantaran video beberapa kenderaan memasuki kediaman tersebut di Saujana, Johor Bahru.
Perjumpaan ini di tengah-tengah spekulasi Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) semakin hampir.
Terdahulu, Ahmad Zahid memberi bayangan bahawa Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan memohon membubarkan parlimen minggu ini dan spekulasi mengatakan naib presiden Umno itu akan mengadap Yang di-Pertuan Agong esok.
Sebelum itu, Ismail Sabri memberitahu bahawa menghadap Yang di-Pertuan Agong adalah rutin lazim buat seorang perdana menteri setiap minggu sebelum mesyuarat kabinet.
Pemimpin pembangkang sebelum ini turut membuat spekulasi bahawa parlimen akan dibubarkan esok atau lusa.
Awal hari ini, Pengerusi PH Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) tidak akan membubarkan dewan undangan negeri masing-masing jika perdana menteri membubarkan parlimen dalam tempoh terdekat.
Join our Telegram Channel