Kenyataan ‘undi BN, PH masuk neraka’, polis siasat ketua Pemuda PAS Sik



PETALING JAYA: Polis memulakan siasatan terhadap kenyataan pemimpin PAS mengenai pengundi “masuk api neraka” sekiranya memilih Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, berbanding Perikatan Nasional, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut laporan China Press, perkara itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Pengarah Operasi PRU15 Bukit Aman Hazani Ghazali, berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat.


Kelmarin, Ketua Pemuda PAS Sik Shahiful Nasir mengemukakan permohonan maaf, sambil mengakui kenyataan dibuat menyinggung ramai pihak.

Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, berkata beliau akan membuat laporan polis susulan kenyataan berkenaan sebagai peringatan kepada ahli dan pemimpin PAS supaya tidak “menunggang agama” bagi tujuan politik.

Dalam pada itu, Hazani berkata, seorang lelaki diserang dengan objek besi selepas mangsa mahu membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang menurunkan bendera Pakatan Harapan.


Katanya, mangsa berjaya melepaskan diri, manakala suspek dipercayai terbabit sudah ditahan.

Beliau berkata, polis membuka 15 kertas siasatan mengenai dakwaan kesalahan pilihan raya ketika kempen berlangsung. Sehingga kini, sejumlah 120 siasatan sedang dilaksanakan.

Kes membabitkan Shahiful satu daripada lima kes yang disiasat di Kedah. – FMT
Join our Telegram Channel
Telegram