SPRM serbu pejabat saya – Rafizi



Kuala Lumpur: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Rafizi mempersoalkan tindakan itu kerana mendakwa sudah mendedahkan skandal membabitkan projek kapal tempur pesisir (LCS) dan projek tebatan banjir bernilai dua bilion berserta bukti sebelum ini, namun perkara itu tidak disiasat SPRM.

"Hari ini, sedang saya berkempen, SPRM datang serbu pejabat saya, tahan budak-budak saya selama tujuh jam. Kita cakap pasal skandal RM2 bilion (projek tebatan banjir), dia tak siasat.

"Kita cakap pasal kapal LCS dan sudah tunjuk bukti mengenai (Datuk Abdul) Latiff Ahmad (bekas Timbalan Menteri Pertahanan), tunjukkan wang RM200 juta yang masuk ke syarikat palsu, dia tidak siasat.


"Satu sen pun yang membabitkan syarikat saya adalah wang saya dan pelabur, bukan wang rakyat. Saya ambil duit poket saya, bayar kepada 150 budak yang pandai untuk didik mereka dalam perniagaan.

"(Tan Sri) Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) ini, dia hantar pegawai dia serbu. Sampai jam 9 tadi masih kena kacau," dakwanya ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia, Kita Boleh di Wangsa Maju di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan Rafizi, susulan satu laporan yang dibuat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung pengisytiharan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu.

Sementara itu, Rafizi berkata, beliau akan meneruskan pendedahan mengenai skandal projek tebatan banjir Sungai Langat 2, yang didakwa membabitkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Rafizi mendakwa, beliau mempunyai bukti lain yang menunjukkan projek itu diluluskan selepas Parlimen dibubarkan, yang melanggar undang-undang.


"Saya nak tengok, apa Azam Baki dan SPRM jawab lepas ini. Tuan Ibrahim ingat saya mempunyai satu atau dua dokumen.

"Selalunya, kalau saya mula dedah sesuatu, saya boleh heret sampai berbulan-bulan," katanya.

Rafizi sebelum ini menuntut penjelasan Tuan Ibrahim berhubung status projek kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Beliau mendakwa, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender terbabit secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor menerusi surat bertarikh 7 Oktober 2022, sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

Susulan dakwaan itu, Tuan Ibrahim menjelaskan, surat yang ditunjukkan Rafizi bukan dikeluarkan beliau atau kementeriannya, selain tarikh surat dikeluarkan sebelum Parlimen dibubarkan. – Hmetro




Join our Telegram Channel
Telegram