Beri peluang kerajaan, Anwar buktikan kepada rakyat – Hishammuddin



MASIH terlalu awal untuk menilai prestasi Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perkara itu dijelaskan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berpendapat Jemaah Menteri perlu diberi peluang sewajarnya untuk membuktikan khidmat mereka kepada rakyat. 

“Saya rasa masih terlalu awal untuk kita nilai dan komen. Mereka pun baru seminggu dua masuk kementerian masing-masing. Jadi berilah mereka sedikit masa.


“Secara peribadi saya sesungguhnya mengucapkan selamat maju jaya dan doakan perjalanan mereka dipermudahkan dan urusan rakan-rakan dalam Kabinet dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya dalam klip video di aplikasi TikTok. 

Pada masa sama, Bendahari Barisan Nasional itu meminta rakyat menerima Kerajaan Perpaduan ini memandangkan kerajaan ini telah pun berjaya dibentuk selepas PRU15 lalu. 

“Kawan-kawan, saya selalu juga baca komen-komen di akaun media sosial saya. Ada sekali dua saya terbaca orang tanya tentang kewajaran kerajaan dan prestasi setakat ini.


“Bukan nak mengelak soalan ini. Tetapi kita perlu terima hakikat bahawa keputusan telah pun dibuat dan kerajaan pun telah dibentuk,” katanya.

Pada 24 November lalu, Yang di Pertuan Agong telah melantik Anwar menerajui Kerajaan Perpaduan ini yang dianggotai Pakatan Harapan (PH), BN, GPS, GRS, Warisan dan Bebas. – Malaysiapost



Join our Telegram Channel
Telegram