BN setuju beri laluan pada PH di Padang Serai



Padang Serai: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom malam ini mengesahkan calon parti itu, Datuk C. Sivaraj secara rasmi memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dr Mohamad Sofee Razak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Parlimen Padang Serai 7 Disember ini.

Pengumuman itu dibuat dalam perhimpunan pertama bersama PH negeri dan BN di Taman Desa Aman di sini malam ini.

Jamil Khir berkata, langkah itu adalah untuk menghormati pembentukan kerajaan pusat perpaduan yang terdiri daripada PH, BN dan gabungan lain.


Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi PH Kedah, Datuk Johari Abdul.

Bagaimanapun, Sivaraj tidak kelihatan di perhimpunan itu.

Sofee dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada BN kerana memberi laluan kepada PH untuk berdepan secara satu lawan satu dengan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Warisan turut mengambil keputusan yang sama menarik diri daripada bertanding bagi memberi laluan kepada PH.


Selain Sivaraj dan Sofee, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

PRU-15 bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan penangguhan PRU-15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh pengundian. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram