PU Azman berdepan 2 lagi tuduhan jenayah seksual



PETALING JAYA: Pendakwah selebriti Azman Syah Alias didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2017.

Bagaimanapun, beliau yang lebih dikenali sebagai pencetus ummah (PU) Azman, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang turut dikenali sebagai Cik Man didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah inap desa di Jalan Kebun, Shah Alam, pada September 2017, menurut Berita Harian.

Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.


Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan lain-lain saksi pendakwaan.

Peguam bela, Fahmi Adilah, memohon jaminan tidak terlalu tinggi dikenakan atas faktor kewangan tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan ketika ini selepas siasatan dilakukan terhadapnya sejak September lalu.

Katanya, tertuduh juga sudah membayar jaminan keseluruhan RM74,000 bagi pertuduhan di Mahkamah Seremban, Mahkamah Klang dan Mahkamah Ampang.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi kes serta melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Jan depan.


Semalam, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dengan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

Pada 7 Dis lalu, Azman didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Klang atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki tahun ini.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama pada 12 Okt.

Tertuduh mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram