Bekas pemimpin PAS sertai Majlis Ulama Umno



PETALING JAYA: Penubuhan Majlis Ulama Umno yang baru diumumkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu turut disertai bekas pemimpin PAS, Khairuddin Aman Razali.

Zahid berkata, Khairuddin yang sebelum ini pernah memegang jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama PAS akan membantu Pengerusi Majlis Ulama Umno Dusuki Ahmad.

“Selaku tokoh agama yang banyak pengalaman dan jaringan persahabatan dalam kalangan ulama dan cendekiawan Islam dalam dan luar negara, saya percaya Dusuki mampu membantu saya dan Umno untuk memperkukuhkan lagi agenda dakwah Islamiah, pendidikan Islam dan tarbiyah dalam parti.

“Insya-Allah beliau juga akan dibantu oleh Khairuddin Aman Razali yang pernah menjadi setiausaha Majlis Syura Ulama PAS,” katanya di Facebook.


Pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu Zahid berkata penubuhan Majlis Ulama Umno adalah satu daripada hala tuju perlu dibuat supaya parti itu dapat maju ke hadapan.

Beliau dipecat sebagai setiausaha Majlis Syura PAS pada 11 Feb. Sebulan sebelum itu beliau dipecat daripada jawatankuasa pusat parti itu.

Pada Mac lalu, bekas menteri industri perladangan dan komoditi itu berkata beliau tidak akan menyertai Umno atau menubuhkan parti baharu selepas keluar dari PAS.

Bagaimanapun, dalam pilihan raya umum ke-15 baru-baru ini, Khairuddin cuba mempertahankan kerusinya atas tiket Barisan Nasional namun tewas kepada Alias Razak dari PAS.


Zahid berkata Dusuki merupakan veteran Umno dan mempunyai pengalaman dan hubungan yang luas dalam kalangan ulama dan cendekiawan Islam di dalam dan luar negara.

Pembentukan majlis itu pertama kali dicadangkan pada perhimpunan agung parti 12 tahun lalu.

Semasa PAU minggu lalu, Zahid mengumumkan bahawa majlis itu akan ditubuhkan dengan Dusuki ditetapkan sebagai pengerusi pertamanya.

Dusuki ialah bapa kepada Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram