Dr M, Muhyiddin, Mustapha, Wee disaman tangguh, batal projek HSR KL-Singapura



PETALING JAYA: Dua bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, dinamakan sebagai defendan dalam saman berhubung pembatalan Projek Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan pada 30 Dis, Hatta Sanuri mendakwa Mahathir melakukan kecuaian dan penyalahgunaan jawatan awam (tort misfeasans) apabila memutuskan untuk menangguhkan projek itu ketika menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Hatta mendakwa kerajaan Malaysia dan semua rakyat Malaysia kemudiannya perlu membayar pampasan sebanyak RM46 juta kepada Singapura.


Beliau mendakwa Muhyiddin juga melakukan kecuaian dan penyalahgunaan jawatan awam (tort misfeasans) apabila pentadbirannya menamatkan projek itu pada 1 Jan 2021, dengan Malaysia perlu membayar pampasan lebih RM320 juta kepada Singapura sebagai sebahagian daripada kewajipannya bawah perjanjian dua hala tersebut.

Hatta turut menamakan bekas menteri ekonomi Mustapha Mohamed, bekas menteri pengangkutan Wee Ka Siong, dan kerajaan sebagai defendan.

Beliau mendakwa 70,000 pekerjaan berpotensi bergaji tinggi daripada projek itu, potensi menjana pulangan RM70 bilion, serta pampasan lebih RM366 juta kepada Singapura adalah antara kerugian yang dialami semua rakyat Malaysia berikutan pembatalan projek itu.

Beliau berkata, pembatalan projek itu juga mengakibatkan hilangnya keyakinan pelabur asing.


Hatta memohon deklarasi bahawa pembatalan projek itu terbatal dan tidak sah dan kedua-dua defendan telah melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam apabila membayar pampasan berjumlah RM366 juta kepada Singapura; pengembalian jumlah pampasan yang telah dibayar; serta ganti rugi dan pampasan berjumlah RM1 juta kepada setiap rakyat Malaysia atas kelewatan pembinaan HSR.

Malaysia dan Singapura mula-mula menandatangani perjanjian dua hala berhubung projek itu pada 13 Dis 2016, tetapi menamatkan projek pada 1 Jan 2021 susulan beberapa kali kelewatan.

Projek yang melibatkan pembangunan 350km itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram