'PAS, Umno berpecah sebab ada pihak senyap-senyap setuju tubuhkan PN'



Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali berkata keretakan hubungan Umno dan PAS yang dijalin melalui Muafakat Nasional (MN) disebabkan pihak dalam parti yang bersetuju menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Khairuddin berkata tindakan itu dibuat tanpa pengetahuan pimpinan parti yang lain.

"Kita semua PAS dan Umno bersetuju untuk tidak tergesa-gesa mendaftarkan MN atau PN sementelah nama MN telah ada pihak yang mendaftarkan nama tersebut di ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).

"Namun, siapa yang menandatangani surat bagi pihak parti bersetuju menubuhkan PN tanpa diketahui oleh pimpinan parti yang lain termasuk timbalan dan dua naib presiden apatah lagi MSU (Majlis Syura Ulama).


"Setelah pecah dan bocor barulah diperakui dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Pusat dalam keadaan marah-marah," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kenyatan itu dimuatkan bersama pautan laporan yang memetik Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebagai berkata bahawa PAS ingin menyatukan Melayu dan Islam, bukannya ingin 'membunuh' Umno seperti dakwaan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Takiyudin berkata sejarah politik negara sebaliknya menunjukkan Umni yang sentiasa bertekad untuk menghapuskan PAS termasuk percubaan untuk mengharamkannya pada suatu ketika dahulu.

Mengulas lanjut, Khairuddin mengingatkan bahawa ada pihak yang tanpa henti memberi persepsi bahawa Umno tidak mahukan kerjasama dengan PAS.

"Saya perlu berikan kesaksian saya sebagai ahli mesyuarat dan AJK serta ahli MSU yang terlibat dengan semua rundingan dengan MN sama ada di peringkat perbincangan kerusi dan sebagainya.


"Saya sendiri masih konsisten mahukan PAS dan Umno kembali disatukan di bawah satu payung yang boleh mencantumkan semua.

Teguran saya terfokus pada tindak-tanduk segelintir pimpinan PAS sebagaimana saya juga bersedia dikritik atas kelemahan saya sendiri.

"Dan teguran bukan bermakna membenci peribadi kerana kita tetap bersaudara dan bersahabat meskipun berbeza. Apa pun, marilah kita bergerak ke hadapan mencari titik persamaan," katanya.

Ketika bersama PAS, Khairuddin dikenali sebagai penyokong kuat kerjasama PAS dan Umno. Feb tahun lalu, dia dipecat sebagai setiausaha MSU tidak sampai sebulan selepas digugurkan daripada AJK pusat parti itu.

Khairuddin juga bertanding atas tiket BN pada pilihan raya umum ke-15 untuk kerusi parlimen Kuala Nerus, namun tewas. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram