Subsidi haji hanya untuk B40, M40



SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) menetapkan Bantuan Kewangan Haji (Hafis) bagi ibadah haji tahun ini diperuntukkan kepada jemaah muassasah dalam kumpulan B40 dan M40 yang pertama kali menunaikan haji sahaja.

Bagi kumpulan jemaah muassasah T20 iaitu mereka yang berpendapatan melebihi RM15,000 sebulan (individu) dikenakan bayaran penuh kos menunaikan Haji.

Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah meningkat kepada RM30,850 tahun ini berbanding RM28,623 tahun lalu.

Menurutnya, peningkatan itu menjadikan kadar bayaran haji untuk jemaah B40 adalah sebanyak RM11,989 seorang, iaitu meningkat sebanyak RM1,000 berbanding tahun lepas.


"Namun kerajaan akan menanggung kenaikan tersebut dan jemaah haji B40 hanya perlu membayar RM10,980 seorang, sama dengan kadar tahun lepas.

"TH memberi Hafis sebanyak 48 peratus kepada jemaah kumpulan M40, jadi mereka perlu membayar kadar haji sebanyak RM15,980.

"Bagi rayuan haji di luar giliran terpilih secara muassasah, mereka juga perlu membayar kos penuh kecuali jemaah terpilih bagi rayuan mahram atau pembantu jemaah lanjut usia (bayar kadar ikut kategori ditetapkan)," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Amrin berkata, kenaikan bayaran haji tahun ini adalah seiring dengan peningkatan kos menunaikan haji dan tidak dapat dielakkan berikutan faktor-faktor di luar kawalan TH.


Ia termasuk peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 15 peratus, peningkatan caj bagi perkhidmatan di Arab Saudi dan kos pasca wabak Covid-19 serta pembangunan di Makkah dan Madinah yang memberi tekanan kepada kadar sewaan bangunan penginapan.

"Hafis daripada TH berjumlah lebih RM400 juta akan dapat mengurangkan beban kewangan TH agar dapat mencapai matlamat utamanya menyediakan kemudahan bagi umat Islam di negara ini menyimpan wang untuk tujuan mengerjakan ibadah haji di samping menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan demi kebajikan jemaah haji Malaysia.

"Kadar bayaran haji insya-ALLAH akan dinaikkan setiap tahun. Ini salah satu langkah yang TH perlu laksanakan bukan hanya untuk kelangsungan Hafis tapi kesinambungan TH sendiri," katanya.

Pada tahun lalu, TH hanya memperkenalkan dua kategori jemaah muassasah iaitu kumpulan B40 dan kumpulan bukan B40.

Jemaah B40 hanya membayar 38 peratus daripada kos asal, manakala kumpulan bukan B40 membayar 45 peratus daripada kos. − Sinar




Join our Telegram Channel
Telegram