Wanita kahwin abang ipar demi jaga anak saudara



Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan perkahwinan seorang lelaki dengan adik iparnya sendiri, lapor portal berita Wolipop hari ini.

Kisah pasangan itu dimuat naik oleh seorang jurusolek bernama Fietry Kitty dalam akaun TikTok miliknya @fietrykitty.   

“Anak saya adalah anak saudara saya. Suami saya adalah abang ipar saya,” demikian kapsyen video tersebut.


Berdasarkan rakaman tersebut, pengantin perempuan yang berbaju serba putih bergambar bersama pengantin lelaki yang memakai sut hitam. Kelihatan anak kepada lelaki tersebut turut berada di lokasi kejadian. 

Wolipop kemudian menghubungi Fietry Kitty untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kisah pasangan tersebut.

Menurut Fietry, lelaki itu berkahwin dengan adik iparnya selepas isterinya meninggal dunia. 


Wanita itu menerima lamaran demi meneruskan perjuangan membesarkan anak kakaknya. 

Majlis perkahwinan mereka dikatakan berlangsung pada 18 Mac lalu di kawasan berhampiran Jambatan Suramadu.

Tambah Fietry, keluarga dan tetamu jemputan yang hadir turut terharu apabila majlis resepsi berlangsung. – Agensi



Join our Telegram Channel
Telegram