Anak Hamzah cuti sakit hari pertama prosiding mahkamah



SEREMBAN: Anak kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, akan memfailkan representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk sembilan pertuduhan dihadapinya kerana mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan tahun lalu.

Peguam, Nasuha Badrul Din yang mewakili Muhammad Faisal Hamzah, 39, memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Mazni Nawi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Nasuha turut memohon satu tarikh baharu bagi sebutan semula kes dan keputusan representasi memandangkan anak guamnya itu tidak hadir pada prosiding hari pertama hari ini disebabkan cuti sakit.

Peguam itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau baharu mengambil alih kes terbabit.


Mahkamah memohon penjamin kepada Muhammad Faisal tampil dan meminta peguam mengemukakan surat cuti sakit.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Syazwani Zawawi, berkata pihak pendakwaan sudah menyerahkan dokumen kepada orang kena saman (OKS) pertama, Azizul Abdul Halim, 55, yang hadir, namun tidak diwakili peguam.

“Hari ini memang ditetapkan untuk serahan dokumen. Cuma OKS kedua iaitu Muhammad Faisal tidak hadir.

“Dokumen itu wajar untuk diserahkan kepada OKS sendiri kerana khuatir akan berlaku pertukaran peguam jika ia diserahkan kepada peguam,” kata Syazwani.


Mahkamah menetapkan 12 Julai bagi sebutan semula kes dan keputusan representasi.

Media pada 5 April lalu melaporkan dua pengarah syarikat mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd sebagai pemegang lesen borong barang kawalan berjadual, memberikan maklumat palsu kepada KPDN semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung Dokumen / Invoice Penjualan Minyak Masak kepada Pasar Segar Din Maju.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 5 petang di pejabat KPDN di Seremban 2, pada 12 Ogos 2022.


Berikutan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen 22 (2) akta sama.

Tertuduh juga selaku pemegang lesen borong didapati melanggar Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50 tan metrik.

Kesalahan itu dilakukan jam 11.15 malam di Premis Perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang, di sini pada 11 Ogos 2022.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 22(4) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. − Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram