Cucu Nik Aziz terkilan hanya dapat 'Tan Sri', patutnya dapat 'Tun'



Kota Bharu: Keluarga Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui terkejut dengan gelaran Tan Sri yang diterima bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Cucu Allahyarham, Nik Nur Humaira berkata, sebelum ini mereka sekeluarga sudah dimaklumkan yang Nik Abdul Aziz bakal menerima gelaran Tun, namun sebaliknya yang berlaku apabila menerima surat Istana Negara.

Menurutnya, keluarga mereka tidak memandang rendah dengan penganugerahan Tan Sri, sebaliknya terkejut apabila Nik Abdul Aziz, seorang ulama milik ummah, diletakkan sebaris dengan seteru politik dan agama daripada DAP.

"Secara zahirnya, penganugerahan ini adalah perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, namun senarai penerima akan dicadang serta ditapis oleh Perdana Menteri terlebih dahulu.


"Ahli keluarga 'dicanangkan' lebih awal bahawa Tuan Guru akan dianugerahi gelaran Tun, namun sebaliknya apabila surat istana tiba, ternyata kami dikejutkan dengan penerimaan gelaran Tan Sri," katanya.

Kenyataan itu dimuat naik Nik Nur Humaira di Facebook pada 10 Jun lalu.

Beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati apabila surat jemputan tidak diberikan menerusi kerajaan negeri, sebaliknya dihantar melalui anak kedua Allahyarham, Nik Omar Nik Aziz iaitu bapa saudaranya.

"Selama 23 tahun memimpin kerajaan PAS di Kelantan, namun undangan bersejarah begini diberikan melalui tangan seorang yang memilih untuk tidak bersama perjuangan beliau (Nik Abdul Aziz)?


"Memandangkan jemputan daripada Istana Negara tidak boleh ditolak, maka isteri Allahyarham, Tuan Sabariah Tuan Ishak iaitu nenda kami memenuhi undangan berkenaan," katanya.

Katanya, penulisannya itu adalah tindak balas kepada beberapa naratif daripada musuh PAS, yang mengatakan bahawa Nik Abdul Aziz tidak pernah dianugerahkan Tan Sri walaupun ketika PAS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

"Walhal, hanya kerana seorang anak Allahyarham tidak sedar dirinya menjadi bola bagi pihak lawan, bergerak ikut kaki yang menyepaknya, meraikan ayahnya yang diletakkan sebaris dengan musuh agama yang dilawan sehingga keras jiwa dan putus nyawanya.

"Ulama ini diberikan pengiktirafan, hanya setelah jasad tertanam jauh di dalam bumi. Sayang sekali, ketokohan beliau diperalatkan selepas beliau tiada.


"Allahyarham dianugerahi gelaran Datuk Bentara Setia pada 2010, iaitu tiga tahun sebelum beliau turun daripada kerusi Menteri Besar setelah 23 tahun pemerintahan. Apa ertinya? Bahawa gelaran material ini tidak lah pernah menjadi keutamaan beliau kerana sedar bahawa pangkat dan darjat di dunia tidak menyamai ganjaran dan keredaan Allah SWT," katanya.

Nik Nur Humaira berkata, di kesempatan itu beliau tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan penganugerahan Darjah Kebesaran PSM kepada Allahyarham datuk kami.

"Junjung kasih, Tuanku," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Nik Abdul Aziz dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut sama menerima anugerah itu, pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang. − Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram