Forbes 2023: Robert Kuok kekal individu terkaya Malaysia



Kekayaan terkumpul taikun dalam senarai Forbes 2023 untuk 50 individu terkaya di Malaysia meningkat kepada US$81.6 bilion daripada US$80.5 bilion pada tahun lepas walaupun mengalami penurunan dalam pasaran saham, menurut Forbes Asia. (US$1=RM4.61)

“Selepas meningkat 8.7 peratus pada 2022 berikutan perbelanjaan pengguna domestik yang pulih, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun ini.

“Walaupun negara kembali pulih selepas pandemik, pasaran saham merosot 8.0 peratus sejak kekayaan diukur kali terakhir dan ringgit turut susut hampir 2.0 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Singapura hari ini.

Dalam senarai terkini, tokoh perniagaan Robert Kuok, yang akan berusia 100 tahun pada Oktober ini kekal sebagai individu terkaya di Malaysia, kedudukan yang dipegangnya selama lebih suku abad.


Kuok, yang mendapat keuntungan tertinggi dari segi dolar pada tahun ini, adalah satu daripada hanya dua individu dalam senarai dengan kekayaan dua angka sebanyak US$11.8 bilion.

Seorang lagi ialah Tan Sri Quek Leng Chan, Pengerusi Eksekutif milik persendirian Hong Leong Group untuk cabang Malaysia, menduduki tempat kedua dengan kekayaan terkumpul sebanyak US$10.2 bilion.

“Secara keseluruhannya, 19 kekayaan meningkat dan hampir separuh turun,” menurut Forbes Asia.

Walaupun berada dalam kategori kedua, tokoh logam Tan Sri Koon Poh Keong dan adik-beradiknya kekal di tempat ketiga.


Gabungan kekayaan mereka sebanyak US$5.8 bilion berkurangan hampir 7.0 peratus daripada $6.2 bilion pada tahun lepas, sejajar dengan kejatuhan saham syarikat mereka Press Metal Aluminium Holdings, pengeluar aluminium bersepadu yang terbesar di Asia Tenggara berikutan kos bahan mentah dan pengangkutan yang tinggi.

Antara yang mendapat keuntungan yang tinggi dalam senarai pada tahun ini ialah duo bapa dan anak Yaw Teck Seng dan Chee Ming, yang mengawal syarikat gergasi kayu balak, Samling.

Mereka melonjak kepada No. 16 daripada No. 32 pada tahun lepas apabila kekayaan mereka meningkat lebih dua kali ganda kepada US$1.25 bilion, berdasarkan maklumat baharu mengenai aset persendirian mereka.

Bekas guru matematik Dr Chia Song Kun (No. 10, US$1.8 bilion), Pengerusi Eksekutif syarikat makanan laut keluarganya, QL Resources, kembali kepada kedudukan selepas jurang selama tujuh tahun apabila saham syarikat mencatatkan peningkatan hampir 20.0 peratus dan kemasukan kepentingan keluarganya yang lebih luas.


“Dua taikun yang disokong ekuiti swasta mendapat sokongan daripada urus niaga penting,” menurut Forbes Asia.

Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim (No. 24), yang Weststar Aviation Services mengendalikan kumpulan helikopter untuk perkhidmatan luar pesisir kedua terbesar di rantau Asia Pasifik, telah membeli semula 21 peratus kepentingan dalam firma pelaburan KKR dan kini bernilai US$825 juta, naik 27 peratus daripada tahun lepas.

Kekayaan pengasas penyedia perkhidmatan pengebumian Nirvana Asia, Tan Sri David Kong (No. 23, US$860 juta), meningkat berikutan cadangan penjualan oleh firma ekuiti swasta CVC Capital Partners untuk kepentingannya pada anggaran penilaian sebanyak US$2 bilion.

Lima muka baharu pada tahun ini termasuklah usahawan hartanah Chiau Beng Teik (No. 29, US$665 juta), pengasas Chin Hin Group dan Yu Kuan Chon (No. 39, US$430 juta), seorang doktor perubatan yang menguruskan YNH Property.


Pendatang baharu yang lain ialah Ong Soon Ho (No. 32, US$630 juta), pengasas kumpulan agrokimia Hextar dan Goh Nan Kioh (No. 40, US$425 juta), yang memiliki firma pelaburan Mega First dan mempunyai kepentingan dalam D&O Green Technologies, menghasilkan diod pemancar cahaya untuk sektor automotif.

Menurut Forbes Asia, nilai bersih minimum untuk berada dalam senarai itu ialah US$315 juta, meningkat daripada US$255 juta pada 2022.

Sementara itu, senarai tersebut menyaksikan Tan Sri Ananda Krishnan dari Maxis, yang nilai bersihnya meningkat US$400 juta kepada US$5.4 bilion, menduduki tempat keempat.

Kekayaan pengasas Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow, yang meninggal dunia pada Disember, kini disenaraikan di bawah anak-anaknya, adik-beradik Teh (No. 5, US$5.2 bilion).

Senarai lengkap boleh didapati di www.forbes.com/malaysia dan dalam edisi Jun Forbes Asia. − Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram