KUALA LUMPUR – Malaysia memperoleh kemenangan penting di Mahkamah Rayuan Paris terhadap pewaris yang mendakwa dirinya sebagai waris Kesultanan Sulu.
Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Mahkamah Rayuan telah membatalkan anugerah sebanyak AS$14.94 bilion (RM68.83 bilion) oleh Mahkamah Timbang Tara Paris kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (pihak Kumpulan Sulu).
“Mahkamah Rayuan Paris telah mengekalkan cabaran Malaysia terhadap anugerah separa yang diberikan pada 25 Mei 2020 oleh Gonzalo Stampa dalam kes yang dibawa oleh pihak Kumpulan Sulu,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) itu menambah, dengan keputusan itu bermakna pihak yang menuntut tidak boleh bergantung pada anugerah palsu di Perancis untuk sebarang tujuan.
Mahkamah Rayuan Paris mendapati penimbang tara tersilap mengekalkan bidang kuasanya,” tambahnya dalam satu kenyataan di sini.
Azalina berkata, Malaysia sedang berusaha untuk membatalkan anugerah yang direkodkan dalam keputusan mahkamah secepat mungkin, yang sepatutnya membawa kepada kegaglan usaha penguatkuasaan global pihak yang menuntut.
Beliau berkata, keputusan itu, yang muktamad dan mengikat, adalah kemenangan yang menentukan Malaysia dalam usaha mencari remedi undang-undang berterusan, yang akan mengakibatkan kekalahan menyeluruh bagi pihak yang menuntut dan pembiaya mereka.
Pada Februari 2022, mahkamah timbang tara Perancis yang dipengerusikan oleh Stampa mengarahkan Putrajaya membayar AS$14.94 kepada keturunan sultan Sulu yang terakhir. – MG
Join our Telegram Channel