BANGKOK: Seorang lelaki Vietnam cuba mendayung bot getah dari Phuket, Thailand
ke India, perjalanan sejauh kira-kira 2,000 kilometer, untuk bertemu isterinya
yang tidak ditemuinya sejak dua tahun lalu akibat pandemik COVID-19.
Lelaki berusia 37 tahun dari bandar Ho Chi Minh, Vietnam itu berada di laut
selama 18 hari.
Pada Rabu, Pegawai Pemerintah Kawasan Tentera Laut Ketiga Tentera Laut Diraja
Thai dan pegawai Taman Negara Kepulauan Similan menyelamatkan lelaki itu,
kira-kira 80 kilometer dari pantai selepas dimaklumkan oleh nelayan tempatan.
Dalam satu kenyataan, Pegawai Pemerintah Kawasan Tentera Laut Tiga Tentera
Laut Diraja Thai berkata lelaki itu merancang untuk mendayung dari Phuket ke
India, menyeberangi Laut Andaman dan melalui Teluk Bengal menaiki bot getah
sepanjang 2.5 meter untuk bertemu isterinya.
Media tempatan melaporkan bahawa perjalanan itu akan mengambil masa sekitar
625 hari untuk sampai ke pantai India.
Menurut kenyataan itu, pegawai menemui sedozen pek mi segera, satu tangki air
dan bagasi di atas bot itu.
Pasukan penyelamat membawanya ke Taman Negara Kepulauan Similan untuk tindakan
lanjut.
Pada 2 Mac, lelaki itu mengambil penerbangan dari Saigon ke Bangkok dan cuba
mendapatkan penerbangan ke Mumbai, lokasi isterinya tinggal.
Bagaimanapun, rancangannya tidak menjadi kerana dimaklumkan dia memerlukan
visa.
Kemudian, dia memutuskan untuk mendayung dari Phuket ke India. Lelaki itu
menaiki bas ke pulau peranginan itu dan membeli bot getah di situ.
Dia bertolak pada 5 Mac.
Join our Telegram Channel