Siap sedia hilang lebih banyak kerusi, tewas 2 PRU, Izzah beritahu PH



PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mungkin memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun atau dua pusingan pilihan raya umum untuk kembali menguasai Putrajaya, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Bekas Naib Presiden PKR itu berkata gabungan itu juga diramal bakal berdepan laluan sukar dan kehilangan banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15.

Justeru, Izzah berkata, PH perlu menjadi parti pembangkang bermaruah dengan menawarkan tawaran baru yang lebih realistik berbanding PRU sebelum ini.

“Saya rasa tidak mudah untuk PH menang dalam PRU akan datang dan kita kena bersedia untuk kalah dua pusingan untuk impak lebih positif serta kembali diterima oleh rakyat.


“Kenapa saya mempunyai pandangan negatif mengenai keputusan PRU15? Saya amat realistik kerana pada saya kita akan mengambil masa untuk melakukan dengan jayanya perbezaan produk kerana rakyat dan saya sendiri masih trauma dengan apa yang berlaku semasa PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, sebelum ini,” katanya memetik laporan Sinar Premium.

Izzah berkata, punca beliau tidak yakin PH akan kembali berkuasa selepas PRU15 adalah kerana dasar dan kegagalan mereka menunaikan manifesto PRU14 selepas menjadi kerajaan.

Bagaimanapun, Izzah berkata tempoh 22 bulan PH menjadi kerajaan terlalu singkat untuk dinilai berbanding Barisan Nasional yang berkuasa selama lebih enam dekad.

“PH banyak belajar dan maklum balas rakyat daripada pengamalan itu. Jika mahu dibandingkan antara kegagalan PH menunaikan manifesto semasa menjadi kerajaan selama 22 bulan dengan BN selama lebih enam dekad memang jauh.

“Kalau dinilai jumlah manifesto berjaya dilaksanakan BN, PH mungkin dapat markah F (gagal),” katanya.


Izzah turut meramalkan selain PH, parti lain khususnya Umno turut berdepan kehilangan banyak kerusi pada PRU15.

“Mungkin Umno dan BN berasa yakin boleh menang tetapi mereka kena ingat perkara itu belum pasti kerana pengundi atas pagar belum lagi mengaum sekuat mungkin.

“Ini kerana pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor berlangsung kita belum memasuki fasa peralihan endemik lagi seperti sekarang,” katanya.

“Apabila semua sektor ekonomi sudah dibuka sepenuhnya sudah pasti pengundi akan keluar beramai-ramai, saya rasa semua Ahli Parlimen patut berasa takut.”

Izzah sebelum ini mengumumkan tidak bertanding merebut enam jawatan tertinggi parti dalam pemilihan PKR penggal 2022/2025.


Sebaliknya, beliau berkata akan menumpukan usaha menarik pengundi atas pagar menjelang PRU15.

Dalam pada itu, Izzah berharap beliau diberi peluang sekali lagi oleh pucuk pimpinan parti untuk mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU15 nanti.

“Bagaimanapun, saya menghormati apa jua keputusan akhir dibuat oleh pimpinan tertinggi PKR,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram