Rogol beramai-ramai, 4 remaja mengaku tak bersalah



MELAKA: Empat remaja didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol secara berkumpulan terhadap pelajar tingkatan 5, Ahad lalu.

Tertuduh, Khairul Asnawi Rusri, 19, Muhammad Firdaus Noor Apande, 18, dan dua remaja berusia 17 dan 16 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan meminta dibicarakan pada prosiding didengar Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama merogol mangsa berusia 17 tahun di Lapangan Terbang Sungai Rambai Aerodrome, Jasin, kira-kira 4 pagi, 17 Julai lalu.


Mereka dituduh mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi tidak menawarkan jaminan namun, peguam Chua Yong Yi merayu semua tertuduh diberi jaminan.

Peguam memohon jaminan rendah atas alasan Khairul Asnawi adalah pelajar kolej vokasional di Segamat, Johor, manakala Muhammad Firdaus serta juvana 17 tahun tidak bekerja dan penama 16 tahun adalah pelajar tingkatan 4.

Sementara itu, Khairul Asnawi turut didakwa atas pertuduhan berasingan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di tempat, masa dan pada tarikh sama.


Bagai kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mahkamah membenarkan penama berusia 16 tahun diikat jamin RM5,000, manakala Muhammad Firdaus dan remaja 17 tahun sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin masing-masing.

Khairul Asnawi pula dikenakan ikat jamin RM14,000 bagi dua pertuduhan dan semua tertuduh turut dikenakan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dalam apa juga cara.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 16 Ogos depan untuk serahan dokumen. – Hmetro




Join our Telegram Channel
Telegram