Agong dimasukkan ke IJN jalani prosedur, pemeriksaan kesihatan susulan



PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjalani prosedur dan pemeriksaan kesihatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur selama beberapa hari bermula hari ini.

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda akan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara selepas menjalani pemeriksaan tersebut yang dijangka selesai pada hujung minggu ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.


“Seri Paduka Baginda dijadualkan menjalani prosedur tersebut pada pertengahan September lalu, tetapi ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadil memberitahu, penangguhan itu berikutan keberangkatan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke United Kingdom selama lima hari bermula 16 September lalu bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara mendiang Ratu Elizabeth II.

“Seluruh rakyat diseru bersama-sama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda menjalani prosedur serta pemeriksaan kesihatan susulan dengan lancar serta dikurniakan keafiatan yang berpanjangan,” ujarnya. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram