Chegu Bard dipanggil beri keterangan



Johor Bahru: Polis Mersing mengesahkan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard akan dipanggil memberi keterangan, petang ini, bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran dibuatnya di Facebook (FB) ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bulan ini.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, lelaki itu dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Pada 17 November lalu, kami menerima laporan polis berkenaan satu hantaran dalam FB yang dibuat oleh satu akaun iaitu Che'GuBard Original.

"Berikutan laporan polis itu, kita menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


"Siasatan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing dan hari ini, lelaki berkenaan akan datang ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Mersing untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Pengesahan itu dibuat Cyril terhadap kenyataan Chegu Bard di FB pada semalam, yang mendakwa akan hadir ke IPD Mersing pada 2.30 petang ini selepas dipanggil polis.

Chegu Bard dalam hantaran FB semalam mendakwa, polis membuka kertas siasatan ke atasnya berkaitan isu yang dibangkitkan beliau mengenai dakwaan berhubung perlombongan emas, perlombongan pasir dan beberapa perkara mengenai bagaimana khazanah Mersing dipunggah keluar dan memberi kesan negatif kepada rakyat Mersing. – Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram