Shahrir Samad lepas bebas kes pengubahan wang haram



Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM1 juta yang diterima dari Najib Razak.

Ia apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam agar Shahrir dilepaskan dan dibebaskan (DAA) dari pertuduhan itu.

DAA bermakna dia tidak lagi boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan sama.

Pada mulanya, pendakwaan memohon untuk membebas tanpa melepaskan (DNAA) tokoh veteran Umno itu. DNAA bermaksud tertuduh masih boleh didakwa atas kesalahan sama pada masa akan datang.


Sebelum ini Najib hari ini dijangka memberi keterangan sebagai saksi dalam kes ini.

Pembebasan penuh hari ini selepas Pegawai Penyiasat SPRM Nurzahidah Yacop dalam keterangannya berkata Tommy Thomas ketika menjadi peguam negara pada 2020 memberikan kebenaran agar Shahrir didakwa walaupun kertas siasatan (IP) pada masa itu tidak lengkap.

Ketika perbicaraan di depan hakim Muhammad Jamil Hussin hari ini, timbalan pendakwa raya Rashidah Azmi memohon DNAA di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah berdasarkan "perkembangan baru" kes tersebut.

Namun peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin membalas bahawa Shahrir perlu diberi pembebasan penuh kerana tidak adil jika dia tidak dinafikan pembebasan itu.


Seorang lagi peguam Dzulkifli Ahmad kemudian mencelah untuk mengingatkan bahawa Nurzahidah sendiri sebelum ini berkata pendakwaan dibuat berdasarkan bukti yang tidak lengkap.

"Maka, kami memohon agar mahkamah membebas dan melepaskan Shahrir daripada pertuduhan," katanya.

Seorang lagi peguam, Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah turut memohon pembebasan penuh atas sebab perbicaraan telah berlarutan sehingga tahun ini, dan Shahrir serta keluarganya telah terjejas kerananya.

Apabila Jamil bertanya sama ada pendakwaan berhasrat untuk mendakwa Shahrir di masa depan jika mahkamah menerima permohonan DNAA mereka, Rashidah berkata," tidak, tiada arahan untuk kami meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh".

"Memandangkan timbalan pendakwa raya mengesahkan tidak akan meneruskan kes terhadap terduduh di masa akan datang, maka wajar untuk mahkamah melepas dan membebaskan terduduh," kata Jamil.


Hakim turut mengarahkan wang ikat jamin dan pasport dipulangkan kepada Shahrir.

Shahrir didakwa melakukan pengubahan wang haram dengan tidak mengisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bayaran RM1 juta sebagai sebahagian daripada pendapatan sebenarnya dalam penyata cukai pendapatan bagi 2013.

Mengikut kertas pertuduhan, wang itu, yang didakwa daripada aktiviti menyalahi undang-undang, didakwa diterima daripada Najib melalui cek.

Kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM5 juta, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram