Selepas isteri, lelaki warga emas juga maut makan ikan buntal



PETALING JAYA: Lelaki warga emas berusia 84 tahun yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat keracunan selepas memakan ikan buntal bersama isterinya bulan lalu, disahkan meninggal dunia hari ini.

Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing dimasukkan ke ICU Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) untuk menerima rawatan sejak 25 Mac lalu, lapor Berita Harian.

Pada 29 Mac lalu isterinya, Lim Siew Guan, 83, dilaporkan maut.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, dilaporkan berkata wanita berusia 83 tahun itu mula menunjukkan gejala sesak nafas dan menggigil sebelum diikuti suaminya satu jam kemudian dengan gejala sama, kira-kira 3 petang selepas memakan ikan tersebut pada tengah hari.

Lelaki itu turut dilaporkan mengalami gejala sama kira-kira sejam selepas isterinya mendapat gejala berkenaan.

Difahamkan, itu kali pertama pasangan warga emas berkenaan makan masakan berasaskan ikan buntal.


Susulan kejadian itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, mengingatkan orang ramai berhubung larangan penjualan ikan buntal yang sudah ditetapkan dengan jelas mengikut Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972. − FMT














Join our Telegram Channel
Telegram