Blogger direman kes rasuah RM41 juta libatkan kementerian



SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang blogger bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan satu projek bernilai hampir RM41 juta di sebuah kementerian.

Memetik laporan Astro Awani, Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman selama dua hari bermula Jumaat hingga 13 Mei terhadap suspek selepas SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.

Menurut sumber, suspek lelaki yang merupakan penulis blog itu dipercayai menerima rasuah kira-kira RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sekitar tahun 2020.


Sumber menambah, permintaan dan pembayaran rasuah tersebut dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.

Difahamkan, selain isu jenayah rasuah, SPRM juga akan melihat tatacara perolehan projek tersebut dilaksanakan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. − Sinar





Join our Telegram Channel
Telegram