Covid-19: Tekun, Bank Rakyat, SME Bank, Maybank, HSBC tawar tangguh bayar pinjaman 6 bulan



Pelanggan 3 institusi kewangan atau pinjaman wang di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang terkesan akibat Covid-19 dibenar menangguhkan bayaran pembiayaan selama 6 bulan berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif moratorium melibatkan Bank Rakyat, SME Bank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) itu dilaksanakan selepas mengambil kira masalah kewangan yang dihadapi pelanggan susulan penularan Covid-19 yang menjejaskan pasaran perniagaan.

“Selain kesan global akibat penularan virus itu, beberapa langkah daripada pengumuman kerajaan seperti larangan untuk berhimpun, mengadakan acara melibatkan ramai orang sedikit sebanyak didapati menjejaskan perancangan kementerian termasuk industri keusahawanan dan koperasi.

Loading...

“Atas faktor itu, kami memutuskan untuk mewujudkan sistem morotorium pembayaran pinjaman selama 6 bulan bagi institusi kewangan yang berada di bawah bidang kuasa kementerian bagi membantu pelanggan yang berdepan masalah kewangan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama pengurusan tertinggi kementerian itu di sini, hari ini.

Sebelum ini, Bank Rakyat mengumumkan menawarkan penangguhan sementara pembiayaan pelanggannya yang menghadapi isu kewangan akibat Covid-19 bagi memastikan kelangsungan perniagaan, terutamanya mereka yang berada dalam industri keusahawanan dan koperasi.

Wan Junaidi berkata, penangguhan itu diharap dapat meringankan beban peminjam yang pada masa sama perlu berusaha mencari alternatif tertentu dalam meneruskan kesinambungan perniagaan bagi membantu mereka membuat bayaran pinjaman sejurus tempoh morotorium berakhir.

Sementara itu, HSBC Malaysia dan Maybank juga mengambil langkah yang sama meringankan beban kewangan bagi membantu pelanggan mereka yang terkesan oleh pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu oleh kerajaan.

Loading...

Dalam satu kenyataan, HSBC berkata, ia membenarkan pelanggan memohon moratorium sehingga 6 bulan ke atas pinjaman dan bayaran kad kredit.

“Bank juga boleh menyesuaikan pengaturan jangka pendek sesuai dengan keperluan pelanggan dalam penstrukturan semula pembiayaan mereka, selain tawaran sedia ada yang ditawarkan kepada mereka.”

HSBC berkata, bagi pelanggan perbankan komersial, perniagaan kecil dan sederhana (SME) boleh memohon moratorium ke atas pembayaran balik, sementara kemudahan pinjaman jaminan kerajaan akan terus menyokong mereka yang memerlukannya.

“Pengurus perhubungan perbankan perniagaan HSBC Malaysia sentiasa bersedia untuk membincangkan opsyen yang ada dengan pelanggan.”

Ia berkata, semua permohonan yang dibuat akan dinilai berdasarkan kes demi kes.

“HSBC berdiri teguh bersama-sama Malaysia pada masa senang dan susah selama ini. Kami komited dalam meneruskan sokongan kepada komuniti tempatan sepenuh kemampuan kami,” kata ketua pegawai eksekutif HSBC Malaysia Stuart Milne.

Dalam pada itu Maybank juga mengumumkan moratorium ke atas bayaran balik pinjaman sehingga 6 bulan.

“Ini termasuklah penstrukturan dan penjadualan semula kemudahan pinjaman, sekiranya diperlukan.”

Katanya, pihak yang terkesan oleh keadaan semasa boleh memohon moratorium ke atas pinjaman kereta, perumahan, Amanah Saham Bumiputera, pendidikan dan SME. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram