Polis menahan 14 individu sehingga tengah hari ini yang disyaki terlibat dalam
kes pergaduhan bersenjatakan parang melibatkan anggota Geng 08 Sungai Besi
Indah dan Geng 36 Bukit Belimbing di Taman Juara Jaya, Batu 9 Cheras pada
Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata
pihaknya bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan JSJ IPD Serdang
secara bersepadu telah menjalankan Ops Cantas bagi mengesan saki baki suspek.
"Motif kejadian adalah perebutan kawasan jualan dadah antara Geng 08 Sungai
Besi Indah dari Serdang dan Geng 36 Bukit Belimbing dari Kajang.
"Menurut beliau geng dari Serdang itu diketuai lelaki tempatan dengan
panggilan Sara 08 Sungai Besi Indah dengan orang kanannya dikenali sebagai
Rajie 5000, manakala geng dari Kajang diketuai seorang lelaki tempatan dengan
panggilan Tan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak JSJ Selangor telah mengenal pasti beberapa lagi individu
yang boleh membantu siasatan berkaitan kes ini.
Sementara itu, kejadian pergaduhan itu turut tular menerusi video yang
memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang mencederakan sekumpulan
lelaki yang lain.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis menerima
panggilan kecemasan berhubung kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki pada 6.37
petang dan telah menahan empat suspek.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes, boleh berhubung mana-mana
balai berdekatan atau Pegawai Penyiasat ASP Mohd Radzee Jamudi di talian
019-6655811," katanya.
Join our Telegram Channel