KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memfailkan tuntutan nusyuz terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah, di sini pada Jumaat, sehari selepas wanita itu memfailkan permohonan cerai di mahkamah sama di Shah Alam.
Bagaimanapun, Musa, 72, yang hadir di mahkamah pada jam 2.45 petang dengan diwakili peguam syarienya, Mohd Rifahmi Abdul Musikin tidak mendedahkan butiran tuntutan terhadap Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, secara terperinci.
"Permohonan nusyuz dibuat atas alasan ingkar dan tidak taat, saya tidak boleh cerita panjang, biarlah mahkamah yang menentukan," katanya.
Bagi prosiding berkenaan, mahkamah menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.
Ditanya mengenai penafian isterinya, sebagai individu yang menyebarkan video berkenaan sehingga tular di media sosial, Musa berkata, ia perlu dirujuk dengan pihak polis.
Krisis rumah tangga Musa kembali diperkatakan apabila isterinya memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, pada Khamis.
Ibu kepada seorang anak lelaki berusia lapan tahun, yang juga bekas ahli perniagaan, memfailkan permohonan berkenaan kerana shiqaq (perbalahan berpanjangan).
Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Ogos 2013 lalu dan dikurniakan seorang anak.
Pada 9 Mac lalu, Musa berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baharu sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun, malah mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menghormati privasinya.
Sebelum ini, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel