Abdul Rahman senaraikan kegagalan keadilan terhadap Najib
2.20 petang: Abdul Rahman berkata panel hakim ketika rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan membiarkan pihak pendakwaan mengemukakan kes dahulu, itu tidak betul.
Beliau berkata pihak mahkamah sepatutnya membiarkan pemohon (Najib) mengadap panel itu terlebih dahulu sebelum pihak pendakwaan membuat hujahannya.
"Ini tidak berlaku, pihak pendakwaan dibenarkan mengemukakan hujahan selama dua hari penuh," katanya.
Dia berkata ini tidak boleh dibayangkan langsung.
Abdul Rahman seterusnya berkata bahawa hak Najib untuk perbicaraan yang adil telah terhalang, kerana mahkamah meneruskan perbicaraan walaupun peguam Najib enggan mengemukakan hujah kerana beliau telah menarik diri dari mewakili Najib.
Abdul Rahman berkata penangguhan sepatutnya diberikan kepada Najib.
"Bukan untuk menggagalkan kes, tetapi untuk membenarkan Najib mencari peguam baru," katanya.
Beliau berkata Najib mempunyai hak untuk mendapatkan peguam yang efektif.
“Dalam kes ini, panel terdahulu telah menafikan hak pemohon untuk mendapatkan peguam yang efektif. Peguam itu (Hisyam) dibelenggu,” katanya.
Beliau menambah bahawa panel sebelum ini telah mengatakan bahawa ia telah memberi peguam Najib tempoh masa empat bulan untuk membuat persediaan. Abdul Rahman berkata ini tidak benar.
“Empat bulan itu adalah untuk Tetuan Shafee dan Co (peguam Najib sebelum ini). Ia bukan untuk peguam barunya Datuk Hisyam Teh Poh Teik,” tambahnya.
Beliau berkata fakta yang tidak boleh dipertikaikan ialah Najib hanya menukar peguam sekali sahaja dan tidak pernah berbuat demikian semasa perbicaraan dari peringkat Mahkamah Tinggi.
“Najib tidak boleh dipersalahkan kerana mendengar cakap peguamnya,” katanya.
Abdul Rahman berkata mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk memaksa peguam untuk mengemukakan hujah sekiranya peguam itu enggan berbuat demikian.
Dia berkata panel itu salah kerana tidak membenarkan Hisyam berlepas diri.
“Atas semua sebab ini, saya membenarkan permohonan oleh pemohon. Perintah yang sewajarnya ialah pembebasan dan pelepasan dari dakwaan yang dikenakan padanya.
Saya nampak beliau telah mengharungi kegagalan keadilan (miscarriage of justice). Peguamnya telah mengelirukannya,” katanya. − TheEdgeMarkets.com / Nabeel Naqie
Abdul Rahman putuskan untuk membebas dan melepaskan Najib
12.00 tengah hari: Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, YAA Dato Abdul Rahman Sebli baru selesai membacakan penghakiman beliau jam 11.31 pagi tadi.
Beliau berkata keputusannya adalah untuk membebas dan melepaskan terus DS Najib kerana berlaku salah laku keadilan yang jelas.
Najib dijangka dibawa semula ke Penjara Kajang
11.31 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli selesai membaca penghakiman menentang yang dibuatnya dan perbicaraan ditangguhkan.
Najib Razak yang berada di kandang orang salah dilihat sedang berbincang dengan ketua pasukan pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah.
Bekas perdana menteri itu dijangka dibawa semula ke Penjara Kajang.
Abdul Rahman: Hak Najib untuk perbicaraan yang adil dinafi
10.57 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli berkata panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini menafikan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil kepada Najib.
Rahman berkata ia berlaku apabila panel hakim menolak permohonan yang dibuat pasukan pembelaan ketika itu agar pendengaran ditangguhkan agar mereka boleh membuat persediaan.
"(Permohonan) penangguhan bukan untuk lari dari rayuan tetapi dibuat dengan jujur agar peguamnya dapat buat persediaan," kata Rahman.
'Panel sebelum ini tak pertimbang jika ada kesilapan dibuat'
10.50 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli berkata panel hakim sebelum ini tidak menimbang jika keputusan menolak permohonan penangguhan akan menyebabkan kesilapan di pihak mahkamah terhadap Najib Razak.
'Sisi Najib tidak didengar ketika rayuan'
10.42 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli berkata sisi Najib tidak didengar langsung ketika pendengaran rayuan SRC tahun lalu.
Pengerusi panel hakim yang juga satu-satunya yang membuat penghakiman menentang hari ini, berkata pihak pendakwaan membuat penghujahan lisan selama dua hari ketika pendengaran manakala peguam Najib tidak membuat sebarang penghujahan lisan.
Menurutnya, ia menafikan hak dalam soal perundangan dan maka Mahkamah Persekutuan perlu masuk campur.
"Mahkamah (Persekutuan tahun lalu) patut meminta pemohon (Najib) untuk bercakap dahulu sebelum membenarkan timbalan pendakwa raya bercakap, tetapi ini tidak dilakukan," katanya.
Dia berkata ia patut dilakukan memandangkan peguam Najib ketika itu enggan membuat penghujahan selepas permohonan untuk pendegaran ditangguhkan tidak diterima.
Suasana suram di luar
10.40 pagi: Suasana di luar Istana Kehakiman bertukar suram selepas keputusan Mahkamah Persekutuan menolak semakan kehakiman Najib Razak diketahui.
Kira-kira 100 penyokong Najib berkumpul di luar Kompleks mahkamah persekutuan di Putrajaya sejak 7.30 pagi dengan harapan Najib akan dibebaskan hari ini. Namun mereka dilihat sedih setelah mendapat tahu bekas ahli Parlimen Pekan itu akan terus menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Ada juga yang berkata bahawa keputusan hari ini telah pun ‘dijangka’.
Ada penyokong yang mula beredar dan ada juga yang mula berkumpul sekitar jalan keluar mahkamah untuk melihat Najib sebelum dia dibawa semula ke Penjara Kajang.
Abdul Rahman: Permohonan penangguhan dibuat dengan niat jujur
10.31 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman menentang, berkata permohonan Najib Razak agar pendengaran rayuan kes SRC pada tahun lalu dibuat dengan niat jujur.
Tahun lalu, panel hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menafikan permohonan yang dibuat pasukan pembelaan ketika itu untuk pendengaran ditangguhkan, agar mereka boleh membuat persediaan yang memadai.
Abdul Rahman: Peguam Najib tak bersedia untuk kendali 30,000 dokumen
10.28 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman menentang, berkata peguam Najib Razak iaitu Hisyam Teh Poh Teik tidak bersedia untuk berhujah dalam rayuan kes SRC International tahun lalu.
Dia berkata ini kerana panel hakim ketika itu tidak membenarkan permohonan untuk menangguhkan pendengaran.
"Pemohon (Najib) tidak sepatutnya membayar harga atas kesilapan peguam," katanya.
10.30 pagi: Najib kalah dengan penghakiman 4-1.
Tetapi penghakiman yang memihak kepada Najib adalah daripada Pengerusi panel semakan kali ini iaitu Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Dato Abdul Rahman Sebli.
Adalah sangat luar biasa bagi Pengerusi Panel dan hakim paling kanan antara semua hakim dalam panel untuk menentang keputusan majoriti panel yang dipengerusikannya.
Ada yang sangat tidak kena di sini.
Beliau membaca penghakiman tidak setujunya yang sangat keras dan seolah-olah menunjukkan sikap hipokrit hakim-hakim lain dalam panel ini.
Nanti dapat penghakiman penuh beliau Nabeel akan kongsikan.
Ini bukan pengakhiran. Najib masih boleh membuat semakan semula lanjut - terutamanya jika surat penuh dan laporan siasatan SPRM meminta Ketua Hakim Negara mengambil tindakan terhadap Nazlan secara rasmi didedahkan atau terdedah.
Jika tak beri perbicaraan adil, lebih baik dia tidak dibicarakan sama sekali, kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak
10.20 pagi: Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Yang Amat Arif Dato Abdul Rahman Sebli yang juga merupakan hakim paling senior dan Pengerusi Panel 5 hakim semakan semula ini adalah merupakan satu-satunya Hakim yang memihak kepada DSN.
Penghakiman beliau sangat kukuh.
Dimulakan dengan membalun hakim-hakim lain kerana bersifat hipokrit.
“Keadilan bukan semata-mata menentukan seseorang itu bersalah atau tidak bersalah. Orang yang dituduh itu mesti mendapat perbicaraan yang adil. Dia juga mesti merasakan dia diberi perbicaraan yang adil. Jika sistem tidak dapat menyediakan ini, lebih baik dia tidak dibicarakan sama sekali.” - YAA Dato Abdul Rahman Sebli
Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semakan kes SRC Najib
9.51 pagi: Panel hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli menolak permohonan semakan Najib Razak terhadap sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.
Empat hakim membuat keputusan menolak permohonan itu, manakala penghakiman menentang oleh Abdul Rahman.
Keputusan hari ini selari dengan keputusan yang dibuat 23 Ogos tahun lalu oleh panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.
Hakim: Tengku Maimun buat keputusan betul
9.43 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong bagi pihak panel lima hakim berkata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan yang betul apabila tidak menarik diri daripada mendengar rayuan Najib tahun lalu.
'Terpulang pada mahkamah untuk benarkan Hisyam tarik diri'
9.38 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong bagi pihak panel lima hakim berkata terpulan kepada Mahkamah Persekutuan sama ada untuk membenarkan peguam Najib untuk menarik diri atau tidak daripada mewakilinya.
Ong berkata tiada merit dalam hujah yang mengatakan panel hakim ketika rayuan tersebut telah terkhilaf apabila melarang Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada rayuan kes SRC International tahun lalu.
'Tiada kesilapan mahkamah'
9.35 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong berkata tiada kesilapan mahkamah ketika pendengaran rayuan Najib Razak dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta oleh panel hakim tahun lalu.
'Peguam Najib diberi peluang untuk berhujah'
9.30 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong berkata hak Najib Razak untuk mendapat perbicaraan yang adil tidak dinafikan ketika pendengaran rayuan pada tahun lalu.
Ong berkata peguam Najib ketika itu enggan membuat penghujahan lisan walaupun dibenarkan berbuat deimikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel hakim yang akhirnya menolak rayuan tersebut.
Ong merujuk peguam Hisyam Teh Poh Teik yang tidak membuat penghujahan lisan walau diminta berbuat demikian ketika pendengaran tahun lalu.
Hakim: Terpulang pada mahkamah untuk benarkan penangguhan
9.20 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong bagi pihak panel lima hakim berkata bergantung kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada untuk membenarkan penangguhan pendengaran rayuan atau tidak.
Salah satu hujah dalam permohonan semakan Najib adalah panel hakim sebelum ini khilaf dalam tidak membenarkan permohonan penangguhan selama tiga hingga empat bulan bagi rayuan kes SRC.
'Mahkamah tak nilai semakan seperti rayuan'
9.10 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong berkata panel hakim tidak menilai permohonan semakan seperti rayuan, tetapi melihat isu lain antaranya jika Najib dinafikan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
Hakim baca penghakiman
9.05 pagi: Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong membacakan penghakiman bagi pihak panel lima hakim Mahkamah Persekutuan.
9.02 pagi: Prosiding bermula.
Beberapa minit sebelumnya, Najib dan isterinya Rosmah Mansor dilihat duduk bersama di galeri awam sementara menunggu prosiding bermula.
Najib memakai sut berwarna hitam dan bertali leher, sementara Rosmah mengenakan baju kurung hijau. Mereka dilihat sedang berbual dengan beberapa pegawai penjara duduk berdekatan mereka.
Pasukan peguam, pendakwaan tiba di mahkamah
8.40 pagi: Timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan beberapa lagi anggota pasukan pendakwaan dilihat tiba di Mahkamah Persekutuan.
Begitu juga dengan pasukan peguam Najib yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah.
8.30 pagi: Penyokong Najib Razak mula berkampung di Mahkamah Persekutuan bagi memberi sokongan terhadap bekas perdana menteri itu.
Sehingga 8.30 pagi sejumlah penyokong yang dilihat berkumpul di perkarangan mahkamah di Putrajaya. − Mkini
ARTIKEL BERKAITAN:
- Update semakan kes SRC Najib
- Sangkaan saya Najib tidak diberi hak keadilan adalah tepat − Nik Abduh
- Kerajaan tak campur tangan pendakwaan kes profil tinggi, kata Azalina
- Kes Najib: Itu keputusan mahkamah – Ahmad Zahid
- Najib wajar dibebas dan dilepaskan – Hakim Abdul Rahman
- 'Jangan hentam Zahid dan Anwar' − Lokman
- Bila sistem perundangan pincang, kerajaan kena siasat, bukan kata 'kita tak campur tangan urusan mahkamah'
- Najib petik hujah Rahman Sebli untuk pengampunan diraja
Join our Telegram Channel