Kes Najib: Itu keputusan mahkamah – Ahmad Zahid





IPOH- Keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd hari ini perlu dihormati.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ditanya mengenai keputusan itu bagaimana pun enggan mengulas lanjut.

“Itu (keputusan) mahkamah,”katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Sekolah Izzuddin Shah di sini hari ini.


Dalam pada itu, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 hari ini diharap dapat melakukan perubahan terutama terhadap ekonomi negeri itu.

Ahmad Zahid berkata, ini termasuk menarik pelaburan asing ke negeri itu khususnya dalam bidang industri dan pelancongan.

Beliau berkata, Ab. Rauf diharap dapat meneruskan kesinambungan usaha yang telah dilaksanakan oleh Ketua Menteri sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.


“Sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, kami harapkan pilihan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam untuk melantik Ab. Rauf merupakan kesinambungan kepada kerja-kerja yang telah dilakukan oleh Ketua Menteri Ke-12 yang lalu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

“Saya mengharapkan Ab. Rauf bukan sahaja dapat menyambung tetapi dapat lakukan beberapa perubahan terutamanya meletakkan satu paras lagi menarik pelabur-pelabur ke negeri Melaka, khususnya dalam bidang industri dan pelancongan,” katanya. − Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram